
PERJUANGAN rakyat Patani selama puluhan tahun mesti melangkah ke pentas antarabangsa dengan penglibatan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kata Presiden Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Kasturi Mahkota.
Menurutnya, pergerakan pejuang dan rakyat Selatan Thai juga perlu membina rangkaian sokongan serantau dan global, dengan menggunakan media sosial, tulisan serta dokumentari, bagi membina wajah sebenar Patani.
“Perjuangan ini mesti melangkah ke pentas antarabangsa. Kita harus bina rangkaian sokongan serantau dan global — dari Malaysia ke OIC, dari ASEAN ke PBB.
“Kita mesti mengangkat suara Patani ke seluruh dunia — bahawa kita bukan pengganas, bukan pemisah tanpa arah. Kita adalah rakyat yang menuntut hak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, rakyat Patani berkorban, menderita dan berjuang selama berabad-abad untuk satu matlamat yang suci iaitu kebebasan, maruah, dan masa depan yang bermartabat.
Kasturi berkata, perjuangan untuk encapai matlamat itu memerlukan kesabaran, kebijaksanaan, dan yang paling penting ialah kesatuan.
“Kita mesti faham bahawa kejayaan perjuangan Patani tidak akan datang dengan emosi semata-mata. Ia memerlukan strategi yang menyeluruh dan berprinsip.
“Kita mesti tahu apa yang kita mahu. Adakah kita mahukan autonomi penuh di bawah Thailand? Atau kemerdekaan sepenuhnya?
“Atau perlindungan hak kita sebagai Melayu Islam – bahasa, budaya dan agama? Kita mesti bersatu di bawah satu visi bersama – yang adil dan realistik,” jelasnya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan ini memerlukan barisan kepemimpinan yang kuat, dipercayai dan mampu membawa suara rakyat ke meja rundingan serta ke pentas dunia.
Menurutnya, perjuangan itu juga mesti melibatkan keseluruhan rakyat – daripada petani hingga ke pelajar universiti.
Kasturi berkata rakyat tidak boleh hanya berharap kepada pemimpin untuk meneruskan perjuangan, sebaliknya semua pihak perlu bersatu untuk mencapai satu matlamat.
“Kita juga mesti kuasai naratif. Kita mesti tunjukkan kepada dunia bahawa kita berjuang dengan prinsip, dengan fakta, dengan maruah. Kita mesti lawan propaganda yang memfitnah kita.
“Saya ingin tegaskan di sini – perjuangan kita adalah perjuangan damai yang bermaruah. Kita tidak akan tunduk, tetapi kita juga tidak akan mengkhianati nilai-nilai kemanusiaan. Kita lawan dengan bijak, bukan membabi-buta.
“Kita mesti tanam benih perjuangan dalam jiwa anak-anak kita. Pendidikan adalah senjata paling ampuh. Bahasa Melayu, agama Islam, dan sejarah Patani — mesti terus hidup dan diajarkan.
“Perjuangan ini bukan milik saya. Ia milik semua yang tidak rela Patani terus dijajah jiwanya. Jangan kita putus asa. Jangan kita berpecah. Dengan iman, ilmu dan strategi, insya-Allah Patani akan bebas,” tegas beliau.
Nota: Ejaan Patani merangkumi lima wilayah di Selatan Thai iaitu Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla dan Satun.






Leave a Reply