Oleh Muhammad Shaiffullah Ahmad, Mohd Istajib Mokhtar
Pertandingan inovasi bertaraf antarabangsa, World Youth STEM Invention Innovation (WYSII) 2025 yang berlangsung dari 23 hingga 27 Februari 2025 telah berjaya menghimpunkan 641 peserta dari sembilan negara dengan membawa bersama 284 projek inovasi merentasi pelbagai kategori pendidikan. Acara berprestij ini dianjurkan oleh Malaysia Young Scientists Organisation (MYSO) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya dan Universitas Negeri Medan (UNIMED).
Dengan tema “Pioneering Solutions, Shaping the Future,” WYSII 2025 telah menjadi platform utama kepada bakat muda seawal usia tujuh tahun untuk membentangkan solusi inovatif, efektif dan lestari berasaskan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Para peserta terdiri daripada pelajar sekolah rendah, menengah, mahasiswa, pensyarah, guru, pegawai pendidikan serta ibu bapa, menjadikan WYSII 2025 satu acara inklusif yang menyatukan komuniti pendidikan global.




Sebanyak sembilan buah negara telah mengambil bahagian dalam edisi keempat ini termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Itali, Kazakhstan, Bosnia dan Herzegovina, Romania, Filipina, dan Nepal. Terdapat 34 projek dari sekolah rendah, 111 projek sekolah menengah, 16 projek kolej dan universiti, 69 projek dari kalangan guru dan pentadbir, serta 54 projek dalam talian dipersembahkan telah menjadi manifestasi kekayaan kreativiti dan semangat inovasi antarabangsa.
Menurut Presiden MYSO, Tuan Haji Razmi bin Abdul Razak, “WYSII 2025 bukan sekadar pertandingan; ia merupakan satu gerakan global yang memupuk pemikiran kreatif, kerjasama antarabangsa, dan inovasi yang membawa impak positif kepada komuniti lokal dan global. Kami berhasrat melahirkan generasi muda yang berani meneroka penyelesaian baharu bagi cabaran masa depan.”




WYSII 2025 menekankan pembangunan solusi teknologi yang memberi impak yang ketara kepada masyarakat. Para peserta diberi peluang untuk mempersembahkan idea mereka melalui sesi pembentangan, pameran inovasi, serta sesi soal jawab bersama panel pakar dan juri berpengalaman. Setiap peserta digalakkan mengaplikasikan strategi penyelidikan berasaskan bukti, mempamerkan data secara meyakinkan, dan membina kemahiran komunikasi berkesan di pentas antarabangsa. Bagi memperluas impak acara, WYSII 2025 memperkenalkan lima elemen utama: Inovasi dan Teknologi, Kelestarian dan Eko-pelancongan, Warisan Budaya dan Kreativiti, Pengiktirafan dan Persaingan Global dan Jaringan Antarabangsa.
Acara ini terbuka kepada pelajar daripada Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Berasrama Penuh, MRSM, Sekolah Teknik, Kolej Vokasional, Sekolah Menengah Agama Negeri, serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Guru-guru dan pendidik turut diberi peluang membentangkan amalan terbaik dalam pengurusan pendidikan dan aplikasi STEM dalam bilik darjah, menjadikan WYSII 2025 antara acara unik yang meraikan kecemerlangan pendidikan secara menyeluruh.
Majlis Penutup WYSII 2025 diserikan dengan kehadiran Tuan Shahril Nizam bin Abdul Malik, Konsul Jeneral Malaysia di Medan, sebagai tetamu kehormat. Turut hadir ialah Aristo Hardinata dari UNIMED, Dr. Mohd Azly bin Zakaria dari Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Puan Norwani binti Mamad dari Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional (BPTV), Dr. Mior Hamdan bin Hj Ghazali A.C.M dari Jabatan Pendidikan Negeri Perak, serta Encik Wan Mohd Akmal bin Wan Mansor dari Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.
Pemenang utama pertandingan adalah seperti berikut:
• Pembentangan Pengurusan Pendidikan Terbaik: SK Rapat Setia, Perak
• Kategori Guru Terbaik: SBPI Gopeng, Perak
• Kategori Kolej & Universiti Terbaik: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak
• Kategori Sekolah Menengah Terbaik: MRSM Mersing, Johor
• Kategori Sekolah Rendah Terbaik: SK Rapat Setia, Perak
Anugerah WYSI International Leadership & Teachers Award 2025 turut disampaikan kepada Dr. Mior Hamdan bin Hj Ghazali (Kategori Profesional/Pengurusan) dan Mr. Amiruddin Razali dari SMK Puteri Ampang (Kategori Guru). Malaysia dinobatkan sebagai juara keseluruhan WYSII 2025, diikuti Thailand di tempat kedua dan Indonesia di tempat ketiga.
WYSII 2025 turut mencipta sejarah apabila The Malaysia Book of Records (MBOR) mengiktiraf acara ini sebagai pertandingan STEM antarabangsa dengan penyertaan belia terbesar untuk tahun 2025. Sijil rekod disampaikan kepada Presiden MYSO dalam satu majlis penuh bersejarah, disaksikan oleh Konsul Jeneral Malaysia, para jemputan kehormat, dan semua peserta.
Salah satu momen istimewa sepanjang program ialah sesi lawatan ke Pejabat Konsulat Malaysia di Medan. Seramai 614 peserta diterima secara rasmi oleh Tuan Shahril Nizam bin Abdul Malik, menjadikan ini delegasi terbesar yang pernah disambut oleh pejabat tersebut. Dalam sesi interaktif tersebut, para peserta berpeluang memahami lebih mendalam tentang peranan diplomatik Malaysia di luar negara. Sempena Tahun Kepengerusian ASEAN 2025, diskusi turut menyentuh hubungan antarabangsa dan hal ehwal diplomatik, di mana para peserta mengambil peluang bertanya soalan-soalan bernas kepada pihak Konsulat.
“MYSO merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, khususnya Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, atas sokongan terhadap acara ini” – ucap Tuan Haji Razmi. “Penghargaan turut diberikan kepada Tuan Shahril Nizam bin Abdul Malik serta seluruh pasukan Konsulat Malaysia di Medan atas sokongan logistik dan keselamatan.” Menurutnya lagi, “MYSO berharap momentum ini akan diteruskan, dan semua pihak dijemput untuk bersama menyemarakkan edisi seterusnya yang bakal berlangsung di “Land of the White Elephant”, Thailand!”

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui Muhammad Shaiffullah Ahmad di myso.malaysia@gmail.com





Leave a Reply