
SERANGAN terhadap sepasukan anggota tentera Thailand di Daerah Bannang Sata, Yala, semalam (17 Jun 2025) dipercayai dilakukan oleh penembak tepat kumpulan bersenjata yang aktif di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam, seorang anggota Unit Gerakan Khas Batalion Infantri 1 tentera Thailand terbunuh apabila peluru penembak tepat mengenai kepalanya.
Prebet Kelas Pertama Pakom Sudden, 22 tahun, cedera parah di kepala sebelum meninggal dunia di Hospital Bannang Sata.

Serangan hendap itu berlaku di kawasan Ban Wang Hin (Kampung 8), ketika 12 anggota tentera berjalan kaki melakukan rondaan di kawasan kampung berkenaan.
Laporan awal menunjukkan serang hendap itu dari jarak yang jauh, dipercayai dilakukan penembak tepat kumpulan bersenjata yang aktif di Bannang Sata.
Pihak berkuasa kemudian mengepung tempat kejadian untuk memudahkan siasatan, sementara Ketua Polis Bannang Sata Kolonel Atthaphon Kulwongmanaso menggunakan anjing pengesan untuk memburu kumpulan terbabit.
Jenazah Pakom Sudden diserahkan kepada keluarganya sebelum disembahyangkan di Masjid Bang Malao, Mukim Sakoo, Daerah Thalang, Wilayah Phuket.
Pegawai perisikan tempatan mendakwa kejadian itu dilakukan penembak tepat menggunakan senjata api yang dilengkapi teropong untuk menembak sasaran jarak jauh.
Sementara itu, Komander Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Natthakorn Kanchanaporn mengarahkan semua anggota polis, tentera dan kakitangan awam yang bertugas di lapan daerah di wilayah itu supaya meningkatkan kewaspadaan.
Beliau juga mengarahkan pemeriksaan ketat dilakukan terhadap individu mencurigakan, kenderaan serta motosikal, khususnya di sekitar pangkalan operasi dan sekatan jalan raya.






Leave a Reply