
SEORANG anggota renjer terbunuh, manakala lima yang lain cedera dalam letupan bom yang ditanam di sebatang jalan di Daerah Si Sakhon, Narathiwat, malam tadi (14 Jun 2025).
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 malam tadi, ketika Hamru Ismail, 27, bersama sepasukan anggota renjer menaiki kenderaan melalui sebatang jalan di Kampung 2, Mukim Sri Banphot, kira-kira jam 8.50 malam.
Ketika melalui tempat kejadian, bom buatan sendiri yang ditanam di atas jalan diletupkan, menyebabkan kenderaan mereka terbalik. Hamru terbunuh di tempat kejadian, manakala rakannya dikejarkan ke hospital untuk rawatan.
Mereka yang cedera ialah:
- Abdulroman Jijai, 36;
- Sarawut Lienseng, 35;
- Nanthawat Rongrak, 28;
- Intree Tomon, 40; dan
- Angsakorn Suksaman, 23.

Sementara itu, pihak berkuasa Thailand menahan seorang suspek yang disyaki terbabit dalam serangan terhadap kenderaan anggota sukarelawan pertahanan di Daerah Panare, Pattani pada 2 Jun lalu, menyebabkan seorang anggota keselamatan terbunuh dan empat, termasuk seorang awam, cedera.
Pusat Perintah Hadapan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC 4) dalam satu kenyataan berkata, suspek merupakan anggota peninjau kumpulan penyerang yang melakukan serangan di Kampung Na Phrao, Daerah Panare.
“Berdasarkan siasatan intensif oleh Pasukan Operasi Khas, pihak berkuasa berjaya mengesan suspek dan mengumpul bukti mencukupi untuk menjalankan tangkapan berdasarkan waran mahkamah.
“Suspek dikenali sebagai Tueburi (nama keluarga dirahsiakan) mengaku dia bertindak sebagai peninjau atas arahan daripada Sudeeraman (nama keluarga dirahsiakan), yang menyuruhnya memeriksa laluan sebelum kejadian dilakukan.
“Suspek kini sedang melalui proses soal siasat lanjut dan akan dibawa ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu.
ISOC 4 turut memberi amaran bahawa sesiapa yang membantu penjenayah, termasuk menyembunyikan mereka, menyediakan tempat perlindungan, atau bekalan makanan, boleh didakwa mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda tidak melebihi 40,000 baht, atau kedua-duanya.





Leave a Reply