
MAHKAMAH Wilayah Narathiwat sekali lagi meluluskan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap keputusan pembebasan penyanyi dikir barat Kelantan, suami dan empat rakan mereka, atas tuduhan bersama memiliki 6,059 biji pil methamphetamine.
Susulan itu, Eda Ezrin atau nama penuhnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, akan terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat sehingga 6 Julai depan.
Jurucakap mahkamah ketika menghubungi apakhabartv.com berkata, pendakwa raya mengemukakan permohonan lanjutan itu pada 30 Mei lalu.
Ini adalah kali keempat mahkamah membenarkan permohonan pendakwa raya bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan sejak mahkamah membebaskan semua tertuduh pada 6 Mac lalu.
Mengikut undang-undang Thailand, pendakwa raya dibenar mengemukakan empat kali permohonan bagi melanjutkan tempoh memfailkan rayuan.
Pihak pendakwa raya mesti mengemukakan permohonan itu dari sebulan ke sebulan dan tidak lebih empat kali.
Dalam kes, Eda Ezrin, suami dan rakan-rakannya, mahkamah membenarkan permohonan pertama pendakwa raya antara 6 Mac hingga 6 April; kedua (6 April-6 Mei); dan ketiga (6 Mei-10 Jun).
“Ini adalah permohonan kali keempat dan terakhir. Tempoh kali ini akan berakhir pada 6 Julai depan.
“Dalam tempoh sebelum 6 Julai, pendakwa raya hanya boleh mengemukakan rayuan untuk perbicaraan semula kes itu di Mahkamah Rayuan,” katanya hari ini (4 Jun 2025).
Ditanya kemungkinan pendakwa raya akan mengheret kes penyanyi ‘Bae Soba Bae’, suami dan rakan mereka hingga ke Mahkamah Rayuan, jurucakap itu berkata:
“Berdasarkan kes-kes sebelum ini dan dengan jumlah dadah yang dirampas terlalu banyak… iya… kes ini dijangka dibawa ke Mahkamah Rayuan, malah mungkin sehingga ke Mahkamah Agung.
“Ini pastinya akan memakan masa bertahun-tahun untuk diselesaikan. Jika bebas, semua bebas… kalau salah semua akan dipenjara.
“Dadah yang dirampas banyak tapi tiada siapa yang mengaku… inilah yang pendakwa raya akan buktikan… sekiranya seorang dua mengaku yang lain akan bebas.”
6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin; Mohd Affendi; Eridieka; Mohamad Alif; Nur Aida Mam; dan Zuhaira daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Disebabkan semua tertuduh adalah rakyat asing, mereka tidak boleh dibebaskan segera kerana pihak pendakwa raya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Semua tertuduh ditahan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Golok dalam sebuah bilik hotel di Sungai Golok pada 1 November 2024. Dalam serbuan itu polis turut merampas 6,059 biji pil methamphetamine.






Leave a Reply