
PUSAT Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) mengesahkan berlaku satu kejadian tembakan di dalam Pangkalan Kompeni Renjer 4215, Unit Gerak Khas Rejimen Renjer ke-42, Mukim Ban Nam Bo, Daerah Panare, Wilayah Pattani, semalam (21 Mei 2025).
Dalam satu kenyataan media hari ini, ISOC 4 bagaimanapun menegaskan kejadian itu adalah kes terpencil, sambil menafikan laporan media sosial yang mendakwa seorang anggota renjer mengamuk, melepaskan tembakan dan melarikan diri ke kawasan umum sehingga menimbulkan kegusaran awam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang semalam, seorang anggota renjer, Pongdet Nanaewsuk cedera di perut dan tangan setelah ditembak rakannya menggunakan raifal AK-102 (Avtomat Kalashnikova).

Susulan kejadian itu beberapa media sosial mendakwa kononnya seorang renjer mengamuk dan melarikan diri di satu kawasan bukit berhampiran. Laporan itu juga meminta orang ramai supaya berada di dalam rumah bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Kenyataan itu menjelaskan:
“Pada 21 Mei 2025, jam 15.00 petang, pam air kompeni yang digunakan untuk mengepam air dari perigi di sebelah pangkalan mengalami kerosakan. Sukarelawan tentera renjer, Pongdet Nanaewsuk, bersama Sarjan Sarawut Kaewchanrit, telah memaklumkan kepada pegawai bertugas bahawa pam air rosak dan meminta untuk keluar memeriksa di luar pagar pangkalan.
“Sebelum keluar, mereka juga memaklumkan kepada sukarelawan tentera renjer, Prawit Liamphon, yang sedang bertugas pada masa itu. Ketika Sukarelawan Pongdet sedang berjalan untuk memeriksa, Sukarelawan Prawit telah melepaskan tembakan ke arahnya, menyebabkan Pongdet mengalami kecederaan di bahagian perut dan lengan.
“Selepas itu, Prawit melarikan diri bersama senjata api. Anggota lain segera memberikan bantuan dan membawa mangsa ke hospital dengan segera. Keadaan mangsa kini stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Pattani.”
ISOC 4 juga berkata, motif kejadian masih belum dapat dipastikan, namun siasatan awal mendapati tiada sebarang konflik eribadi antara kedua-duanya.
“Selepas kejadian, Unit Khas Rejimen Tentera Renjer 42 telah bekerjasama dengan pihak polis tempatan serta pemimpin komuniti untuk menjejaki suspek yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan berhampiran pangkalan.
“Kemudian, pada jam lebih kurang 21.40 malam, suspek menyerah diri kepada Komander Rejimen Tentera Renjer 42, dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan undang-undang selanjutnya,” kata ISOC 4.
Menurut kenyataan itu, susulan kejadian berkenaan terdapat laporan palsu di media sosial yang menyatakan bahawa insiden tersebut telah mengorbankan seorang anggota dan mencederakan empat yang lain.
“Kami ingin menegaskan bahawa maklumat tersebut tidak benar dan tidak disahkan. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan secara rasmi, terutamanya di kawasan Wilayah Sempadan Selatan,” kata ISOC 4.






Leave a Reply