SEPULUH rakyat Malaysia berusia antara 21 dan 25 tahun ditahan kerana memandu secara berbahaya, menguji kelajuan kenderaan masing-masing dan menghalang lalu lintas di Mukim Ban Rai-Klong Pom, Daerah Hat Yai, Songkhla, semalam (17 Mei 2025).

Pada masa sama, sepasukan anggota dari Balai Polis Kohong dan Polis Pelancong Hat Yai turut merampas enam kereta dengan nombor pendaftaran Malaysia, yang telah diubah suai.

Tangkapan itu dilakukan susulan pendedahan media tempatan setelah menerima aduan daripada penduduk.

Rakyat Malaysia terbabit bertindak demikian sejak malam 16 Mei 2025, sebelum sekumpulan wartawan tempatan menyiasat kejadian itu pada jam 1.23 pagi 17 Mei di hadapan Pasar Greenway, Mukim Kho Hong.

Mereka kemudian menyiarkan rakaman video aksi rakyat Malaysia itu dalam media sosial tempatan.

Setiap kereta diubah suai dan paip ekzosnya berbunyi dengan kuat. Mereka memandu membuat tiga kali pusingan di sepanjang Jalan Sriphuwanat dan Jalan Kanchanawanit, lapor media tempatan.

Laporan awal menunjukkan mereka berkunjung pada hujung minggu dan menggunakan jalan awam sebagai litar lumba sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk tempatan.

Susulan pendedahan itu, polis pelancong Hat Yai memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan berkenaan untuk mencari bukti kejadian berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kohong (Siasatan) Lt Kolonel Thanawat Baimadpanjo berkata pihaknya berjaya mengesan emua enam kenderaan itu di Hat Yai sebelum melakukan tangkapan pada kira-kira jam 11 pagi semalam.

“Daripada siasatan didapati terdapat lebih kurang 10 lelaki dan perempuan berumur 21 hingga 25 tahun yang terlibat dalam kejadian itu.

“Mereka dikenakan denda mengikut undang-undang lalu lintas Thailand, sebelum diarah meninggalkan negara itu dengan segera.

“Mereka juga telah memohon maaf kepada penduduk tempatan atas sikap yang telah ditunjukan,” katanya pada sidang media semalam.

Antara kesalahan dilakukan ialah menghalang lalu lintas, memandu secara melulu, mengubahsuai kenderaan tanpa kelulusan serta menggunakan peralatan yang tidak mematuhi peraturan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading