SEORANG anggota polis terbunuh, manakala rakannya cedera parah setelah kenderaan dinaiki dibom, dalam satu kejadian di Daerah Kapho, Wilayah Pattani, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 2 petang tadi berlaku ketika Leftenan Polis Phanakorn Intha bersama Sarjan Mejar Theonsak Rakwong dalam perjalanan untuk menyiasat satu kes kecurian.

Ketika tiba di jalan Kampung 5, Mukim Telok Dueraman, Kapho, satu letupan berlaku menyebabkan pikap polis yang mereka naiki terpelanting ke dalam sawah kira-kira 10 meter.

Penduduk kampung membantu mengeluarkan mangsa letupan bom di Kapho, Pattani hari ini (16 Mei 2025).

Letupan itu dipercayai berpunca daripada bom yang ditanam di tepi jalan.

Keadaan itu menyebabkan Phanakorn mengalami kecederaan parah sebelum meninggal dunia, manakala Theonsak pula cedera parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jurucakap polis berkata kedua-duanya dihantar ke kampung berkenaan untuk menyiasat satu laporan yang mengatakan berlaku kecurian di kawasan Masjid Darulnaim.

“Kuasa letupan menyebabkan pikap berkenaan melambung sebelum terpelanting ke dalam sawah sejauh kira-kira 10 meter.

“Penduduk kampung yang mendengar letupan itu datang membantu dan membawa mangsa ke Hospital Kapho. Phanakorn meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya.

Pihak berkuasa percaya laporan kecurian itu adalah tipu semata-mata bertujuan memancing pegawai penyiasat untuk keluar menyiasat kes berkenaan, sebelum melakukan serangan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading