
TENTERA Thailand mempercepatkan operasi menggempur kumpulan bersenjata yang mencetuskan keganasan di wilayah sempadan selatan atau dikenali juga sebagai Deep South.
Operasi itu dilakukan serentak dengan langkah memperkukuhkan tindakan proaktif dalam usaha membawa pelaku keganasan ke muka pengadilan.
Deep South merujuk kepada kawasan konflik paling ganas di Selatan Thai yang merangkumi tiga wilayah iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat, serta empat daerah di Wilayah Songkhla – Saba Yoi; Tepha; Chana; dan Natawee.
Panglima Tentera Wilayah Ke-4, Lt Jeneral Paisan Nusang memberi arahan tegas itu bagi memastikan Deep South menjadi kawasan selamat, selain tidak memberi ruang kepada penjenayah melakukan keganasan.
Beliau memberi arahan supaya pendekatan proaktif dari semua sudut diambil bagi menyekat insiden keganasan.
Selain itu, beliau turut mengarahkan tindakan pantas bagi mengesan pelaku yang masih bersembunyi di negara jiran serta di hutan.
“Siasatan kes perlu dipercepat dan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat dalam keganasan bagi mengembalikan keyakinan rakyat dan menjamin keselamatan nyawa serta harta benda.
“Tindakan pantas mesti dilakukan untuk mengesan pelaku yang masih bersembunyi di dalam negara, negara jiran, dan kawasan hutan, dengan menggunakan kerjasama operasi bersama antara pasukan khas bagi membawa mereka ke muka pengadilan dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan anggota Pusat Komando Taktikal Pasukan Khas Narathiwat, Pasukan Khas Kor Marin Diraja Thai, dan Pasukan Khas Songkhla di Narathiwat hari ini (15 Mei 2025).
Paisan yang juga Pengarah Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 juga mengarahkan supaya semua langkah sama ada defensif atau ofensif mesti dijalankan dengan tegas.
Pada masa sama, beliau menyeru kerjasama erat dijalin bersama pemimpin tempatan, penghulu, ketua kampung, dan penduduk bagi memantau, menjaga keselamatan, serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Ini penting untuk mempercepat pelan penggempuran, pencegahan, dan penghapusan aktiviti keganasan secara menyeluruh,” tegas beliau lagi.





Leave a Reply