
MAHKAMAH Wilayah Narathiwat membenarkan permohonan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh memfailkan rayuan terhadap penyanyi ‘Bae Soba Bae’ – Eda Ezrin – dan enam lagi, termasuk suaminya, sehingga 10 Jun depan.
Jurucakap mahkamah ketika menghubungi apakhabartv.com berkata, laporan mengatakan tempoh lanjutan kali ini sehingga 6 Jun adalah tidak tepat.
Menurutnya, pendakwa raya boleh meminta mahkamah menahan tertuduh antara 30 hingga 45 hari bagi setiap kali permohonan melanjutkan tempoh memfailkan rayuan dikemukakan
“Memang benar sebelum ini tempoh lanjutan hanya 30 hari. Tapi kali ini selama 35 hari yang berakhir pada 10 Jun depan.
“Pendakwa raya telah menghantar permohonan itu pagi Jumaat lalu (2 Mei 2025) dan diluluskan oleh mahkamah.
“Seperkara lagi ialah pendakwa raya sebenarnya diberi tempoh sehingga empat bulan untuk mengemukakan rayuan,” katanya hari ini (5 Mei 2025).
6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat membebaskan Eda Ezrin atau nama penuhnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Semua tertuduh ditahan Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Golok dalam sebuah bilik hotel di Sungai Golok pada 1 November 2024. Dalam serbuan itu polis turut merampas sejumlah dadah berkenaan..
Bagaimanapun, semua tertuduh tidak boleh dibebaskan kerana pihak pendakwa raya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan mereka.
Mengulas lanjut, jurucakap itu sekali lagi menjelaskan bahawa pendakwa raya diberi tempoh empat bulan untuk memfailkan rayuan, tetapi penahanan mereka adalah antara 30 hingga 45 hari sebagaimana ditetapkan undang-undang.
“Pihak pendakwa raya mesti mengemukakan permohonan melanjutkan tempoh memfailkan rayuan dari sebulan ke sebulan dan tidak lebih empat bulan,” katanya.
Menurutnya, permohonan pertama melanjutkan tempoh memfailkan rayuan adalah antara 6 Mac hingga 6 April dan kedua (6 April-6 Mei), ketiga (6 Mei-10 Jun) dan keempat (10 Jun hingga satu tempoh ditetapkan kelak jika permohonan dikemukakan).
“Contohnya jika permohonan keempat dibuat bermakna tempohnya akan tamat pada 10 Julai atau 25 Julai. Jumlah hari iaitu antara 30 hingga 45 hari bergantung kepada permintaan pendakwa raya,” katanya.






Leave a Reply