Wartawan Apa Khabar TV

POLIS menembak mati tiga anggota kumpulan sindiket curi kenderaan rakyat tempatan, manakala empat lelaki warta Thailand ditangkap dalam operasi khas di Sik Kedah dan Daerah Saba Yoi, Songkhla, Thailand.

Ketiga-tiga penjenayah terbabit yang dipercayai terlibat dalam lebih 70 kes kecurian kenderaan pacuan empat roda sejak 2023 lalu, ditembak mati di sebuah inap desa di Taman Sejahtera, Sik, Khamis lalu (1 Mei 2025).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, operasi dilakukan sepasukan anggota JSJ Bukit Aman, Kedah dan Melaka hasil risikan Bahagian D4 (Risikan/Operasi/Rekod Jenayah).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bersama pegawai polis Thailand pada sidang media hari ini (6 Mei 2025).

Suspek berketurunan Cina berusia antara 35 dan 37 tahun dikesan berada di inap desa berkenaan kira-kira jam 2.30 pagi. Mereka menyedari kehadiran polis dan mula melepaskan beberapa das tembakan.

Anggota polis terpaksa membalas tembakan demi mempertahankan diri. Seorang daripada suspek juga menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang, ketika keluar dari bilik belakang inap desa itu, tetapi berjaya ditembak.

Mohd Shuhaily berkata, dua suspek maut di bilik tidur utama dan seorang lagi ditembak mati di belakang inap desa berkenaan.

“Seorang anggota polis cedera akibat terkena libasan parang pada body armour vest (baju kalis peluru), memaksa tindakan tegas diambil terhadap suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, hari ini.

Polis turut merampas dua pucuk pistol ‘FN Herstal Belgium’ berisi lapan butir peluru dan pistol ‘CZ 75D Compact’ dengan empat butir peluru. Ketiga-tiga suspek berasal dari Negeri Sembilan.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun memiliki 54 rekod jenayah dan dadah, suspek kedua berusia 37 tahun pula mempunyai 51 rekod jenayah dan dadah, manakala suspek ketiga (35 tahun) mempunyai dua kes jenayah dan lima kes dadah.

Katanya, Honda CR-V yang digunakan suspek dilaporkan dicuri di Petaling Jaya pada 26 April lalu.

Selain polis turut menemui 26 nombor pendaftaran kenderaan palsu, tujuh kad Touch ‘n Go, dua alatan pembuka tayar serta pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk aktiviti curi kenderaan.

Katanya, sindiket itu dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 73 kes curi kenderaan pacuan empat roda sejak 2023, termasuk 18 kes di Melaka antara Januari hingga April tahun ini, selain turut aktif melakukan jenayah curi di Selangor, Pahang dan Perak.

“PDRM turut berjaya mengesan dan mendapatkan semula dua Toyota Hilux yang diseludup ke sempadan melalui laluan tikus hasil kerjasama Unit Risikan Sempadan dan Polis Diraja Thailand (RTP).

“Kedua-dua kenderaan ditemui di Daerah Saba Yoi, Wilayah Songkhla, Thailand, jam 3 petang pada hari yang sama,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, empat warga Thailand berusia 34 hingga 58 tahun yang dipercayai bertindak sebagai penghantar kenderaan curi ke utara negara itu turut ditahanRTP bagi membantu siasatan.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading