SELATAN THAI: Rakyat Malaysia sekali lagi diberi amaran supaya tidak membawa masuk rokok elektronik (e-rokok) ketika berkunjung ke Thailand, jika tidak mahu tindakan tegas dikenakan.

Pada masa sama, tabiat merokok di dalam mana-mana restoran di negara itu juga wajar dihentikan, kerana ada undang-undang yang melarangnya.

Ahli Parlimen Pattani (Kawasan 1), Dr Worawit Baru ketika memberi amaran itu berkata, orang ramai termasuk pelancong Malaysia tidak boleh menyamakan peraturan penggunaan ganja dan e-rokok di Thailand.

Ahli Parlimen Pattani (Kawasan 1), Dr Worawit Baru pada sidang media hari ini (28 Mac 2025).

Menurutnya, Parlimen Thailand baru-baru ini sebulat suara mendesak kerajaan pimpinan Paetongtarn Shinawatra supaya menguatkuasakan dengan lebih tegas dan ketat undang-undang membawa masuk dan menggunakan e-rokok selepas satu kajian dijalankan.

Katanya, beliau adalah salah seorang ahli jawatankuasa yang ditugaskan untuk melakukan kajian dan tinjauan penggunaan e-rokok di Thailand.

“Kajian itu meliputi tiga aspek iaitu pertama, melarang terus e-rokok dengan meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta memperbaiki undang-undang sedia ada dengan menambah denda dan tempoh penjara.

“Kedua ialah membenarkan e-rokok dibawa masuk dan dibolehkan penggunaannya tetapi dengan beberapa syarat ketat.

“Ketiga ialah memberi kebebasan sepenuhnya terhadap penggunaan e-rokok,” katanya pada sidang media di Pattani, hari ini (28 Mac 2025).

Seorang remaja di Narathiwat, Thailand ditangkap kerana memiliki hanya satu batang rokok elektronik.

Mengikut Seksyen 246 Akta Kastam 2017, seseorang yang membantu menyembunyikan, membeli, menerima atau memiliki e-rokok, mengetahui bahawa e-rokok dilarang diimport ke Thailand, juga dianggap bersalah. Jika ditangkap dan didakwa, pesalah akan dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih 500,000 baht, atau kedua-duanya sekali.

Menurut Perintah Lembaga Perlindungan Pengguna No. 9/2015, jika pesalah adalah pengendali perniagaan sebagai pengilang, pemesan atau pengimport untuk jualan, penalti mesti dinaikkan kepada penjara tidak lebih 10 tahun, denda tidak lebih 1,000,000 baht, atau kedua-duanya.

Sebelum ini, ada laporan mengatakan selain warga tempatan, terdapat juga rakyat Malaysia yang ditangkap kerana menyeludup masuk e-rokok ke Thailand, khususnya menerusi sempadan Kelantan-Narathiwat kerana harganya lebih mahal.

Tinjauan Apa Khabar TV sebelum ini mendapati harga e-rokok di Thailand, khususnya di Selatan Thai lebih mahal berbanding di Malaysia.

Purata jika e-rokok di Malaysia berharga RM38, maka harga jualan di Thailand mencecah sehingga RM62 bergantung kepada jumlah sedutan.

Mengulas lanjut, Dr Worawit berkata, selepas dibincangkan di Parlimen maka mereka sebulat suara mendesak pihak berkaitan, khususnya kerajaan supaya mengambil tindakan lebih tegas, kerana e-rokok adalah amat bahaya.

“Insya-Allah dengan tekanan Parlimen, undang-undang sedia ada akan digunakan dengan lebih ketat. Saya juga suka untuk mengingatkan kepada orang yang melihat kenapa ganja boleh digunakan di Thailand, tetapi e-rokok diharamkan… sebenarnya kesan e-rokok ini adalah terlalu bahaya.

Beliau juga mengingatkan bahawa merokok di dalam restoran di Thailand juga menjadi satu kesalahan, tetapi tidak terlalu dikuatkuasakan.

“Sebagai maklumat kepada siapa saja sama ada orang Thai, orang Melayu di selatan ataupun orang yang datang dari Malaysia, sebenarnya merokok di dalam restoran juga tidak dibenarkan dan boleh didenda 2,000 baht.

“Cuma sekarang ini tidak dikuatkuasakan sangat larangan itu. Namun, selepas ini undang-undang larangan merokok di dalam restoran akan dikuatkuasakan,” katanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading