
SELATAN THAI: Sembilan puluh lapan rakyat Thailand yang ditahan di Malaysia sejak tahun lalu dibawa pulang ke tanah air mereka menerusi pintu sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok, hari ini (27 Mac 2025).
Proses membawa pulang mereka digerakkan oleh Ahli Parlimen Narathiwat (Kawasan 5), Kamonsak Leewamoh, bersama beberapa pihak lain yang diselaraskan dengan pihak berkuasa Malaysia.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang, Keadilan dan Hak Asasi Manusia Parlimen Thailand berkata, rakyat Thai itu sebelum ini ditempatkan di Depot Pendatang Tanpa Izin Tanah Merah, Kelantan.
Menurutnya, mereka adalah individu yang ditangkap di beberapa negeri di Malaysia kerana kesalahan memasuki negara itu secara haram dan bekerja di sektor yang tidak dibenarkan.

“Mahkamah Malaysia telah membebaskan semuanya tetapi mereka tidak boleh pulang ke Thailand kerana tidak mempunyai dokumen yang mengesahkan mereka adalah rakyat Thai.
“Saya sempat berkoordinasi dengan pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang semua rakyat Thai itu menjelang sambutan Hari Raya Puasa tidak lama lagi.
“Pihak berkuasa melakukan beberapa siasatan sebelum Jabatan Imigresen Thailand mengeluarkan dokumen mengesahkan mereka rakyat Thai.
“Pagi tadi, kami menyambut kepulangan mereka di pintu sempadan Sungai Golok-Rantau Panjang. Ia turut disertai Menteri Kehakiman, Thawee Sodsong,” katanya kepada Apa Khabar TV.

Beliau yang dikenali sebagai Wan Johan dalam kalangan penduduk Selatan Thai berkata kebanyakan individu terbabit adalah umat Islam di tiga wilayah iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani.
Difahamkan, penyelarasan untuk membawa pulang semua warta Thailand terbabit turut dilakukan dengan kerjasama Pejabat Konsul General Malaysia di Songkhla.






Leave a Reply