
SELATAN THAI: Seorang penduduk kampung terbunuh, manakala empat, termasuk seorang rakyat Malaysia cedera dalam dua nahas berasingan di Wilayah Narathiwat dan Yala, malam dan pagi tadi.
Dalam kejadian malam tadi, seorang rakyat Malaysia yang belum dikenal pasti, cedera parah apabila kereta dipandunya terjunam dalam jurang ketika melalui Jalan Ban Wang Mai ke Ayerweng di Daerah Betong, Yala.
Difahamkan, jalan raya itu kerap digunakan pelancong Malaysia yang masuk ke Selatan Thai melalui Pangkalan Hulu, Perak.

Jalan berkenaan dilaporkan rosak serta sempit dan pihak berkuasa sebelum ini telah meletakkan papan amaran di tempat kejadian bagi mengingatkan pengguna supaya berhati-hati.
Bagaimanapun, ada pihak tidak bertanggungjawab yang telah mengalihkan papan tanda berkenaan menyebabkan mangsa tidak menyedari keadaan jalan yang rosak.
Kereta mangsa dikatakan terbabas di bahu jalan sebelum terbalik beberapa meter ke bawah.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian, seorang penduduk tempatan terbunuh apabila sebuah pikap dan motosikal terbabas di jambatan yang runtuh di Lebuhraya 4217 Chanae-Sri Sakon, di Daerah Chanae, Narathiwat, pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 pagi tadi dengan kedua-dua penunggang dan pemandu pikap terbabit tidak menyedari bahawa jambatan berkenaan telah runtuh.
Dalam nahas itu, motosikal terbabit dilaporkan terbabas terlebih dahulu sebelum datang pikap dari arah belakang yang terjunam dan melanggar bahagian jambatan berkenaan yang runtuh.
Akibat kejadian itu, Aman Jema, 27, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala tiga yang lain cedera.
Jambatan berkenaan dikatakan telah runtuh sejak malam tadi, tetapi tiada pihak yang berani untuk pergi meletakkan papan amaran, kerana bimbang keselamatan mereka.






Leave a Reply