
SELATAN THAI: Seorang anggota Kor Pertahanan Sukarelawan wanita nyaris maut dalam cubaan bunuh oleh kumpulan tidak dikenali, yang memasang bom pada keretanya di Daerah Kapho, Pattani, hari ini (17 Mac 2025).
Jurucakap polis berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi di Ban Cho Kapho, Mukim Karubi, ketika Sunyani Siba, 40, sedang memandu kereta Suzuki Swift miliknya untuk ke tempat kerja.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian kereta itu diletupkan, menyebabkan ia terbakar.

“Siasatan mendapati sebelum kejadian, ketika Sunyani memandu dari rumahnya ke tempat kerja di Daerah Kapho, satu letupan berlaku di dalam kereta itu dan api dengan cepat merebak.
“Dia cedera akibat letupan itu tetapi sempat keluar daripada kereta. Dia kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Selain itu terdapat tiga orang awam termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun turut cedera terkena serpihan. Mereka juga dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa juga menggunakan dron untuk meninjau tempat kejadian bagi memastikan keselamatan, sebelum memadam kebakaran kereta itu.

Pihak berkuasa mengesyaki kejadian itu ada kaitan dengan kumpulan bersenjata yang turut menggunakan kaedah sama iaitu melekatkan bom bermagnet pada tangki minyak kenderaan seperti yang berlaku beberapa kali sebelum ini di Wilayah Narathiwat.
Bulan lalu sahaja terdapat lima letupan di Narathiwat, yang melibatkan kaedah sama.
Pada 4 Februari: Dua letupan di dua lokasi iaitu di Balai Polis Sri Sakhon dan Pejabat Daerah Yingo. Ia melibatkan sebuah pikap polis dan kereta milik pegawai daerah. Pelaku memasang bom mirip bom petrol di bawah kereta berhampiran tangki minyak.
Pada 6 Februari: Bom dipasang pada trak bomba perbandaran dan diletupkan di pejabat Perbandaran Daerah Rueso.
Pada 23 Februari: Bom dipasang pada pikap anggota bomba dan diletupkan di Lapangan Terbang Narathiwat, beberapa jam sebelum bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra turun dari pesawat.
Pada 27 Februari: Bom dipasang pada kenderaan bomba Majlis Perbandaran Daerah Ton Sai meletup di Daerah Ba Cho.
Tiada siapa yang cedera atau terbunuh dalam lima kejadian itu.
Namun, kejadian di Pattani pagi tadi menunjukkan kumpulan bersenjata terbabit semakin serius untuk mencedera dan membunuh mangsa mereka.
Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan seorang anggota polis cedera apabila lelaki bersenjata menyerang pangkalan Polis Peronda Sempadan di Mukim Kaluwo Nuea, Daerah Mueang, Narathiwat, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.15 malam tadi menyebabkan Sarjan Mejar Kopong Boon-on terkena tembakan di dada kiri.







Leave a Reply