SELATAN THAI: Pihak berkuasa Thailand menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa siri keganasan di Daerah Bannang Sata, Wilayah Yala, hari ini (14 Mac 2025).

Penangkapan suspek itu dilakukan hasil maklumat orang ramai setelah melihat pergerakan ketiga-tiganya yang mencurigakan di tiga kampung di daerah berkenaan, kata Markas Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, markas berkenaan memaklumkan susulan maklumat itu, pasukan khas telah digerakkan ke tiga kampung di Mukim Bacho, untuk melakukan penahanan.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang ke atas ketiga-tiga suspek ini adalah berdasarkan siasatan lanjut yang mengesahkan penglibatan mereka dalam beberapa kejadian keganasan di kawasan daerah Bannang Sata, Yala.

“Kejadian itu, termasuk letupan bom di hadapan Mini Big C, Kampung 2, Bacho pada 21 Februari 2025 dan tembakan hendap ke atas anggota tentera di kawasan rumah Ubae, Kampung 1, Bacho pada 26 Februari 2025.

“Mereka juga disyaki terbabit dalam serang hendap ke atas Leftenan Phuwiwat Khamsong di Ban Sanambin, di daerah sama pada 11 Mac lalu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, operasi pertama dilakukan kira-kira jam 7.30 pagi tadi, anggota tentera memeriksa sebuah rumah di Kampung 1, Bacho dan menahan suspek berusia 38 tahun yang mempunyai dua waran tangkap.

“Pemeriksaan dilanjutkan di sebuah rumah di Kampung 2 dan menahan seorang agi suspek. Seorang lagi suspek ditahan di dalam kebun getah selepas cuba melarikan diri dari sebuah rumah lain,” kata kenyataan itu.

Operasi penahanan ketiga-tiga suspek turut disertai ketua kampung dan pembantunya sebagai saksi.

Markas Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 juga menjelaskan pihak berkuasa telah memberi penjelasan kepada keluarga semua suspek mengenai prosedur tugas dalam memastikan tindakan adalah telus, adil dan mematuhi hak asasi manusia.

“Suspek dibawa ke Balai Polis Daerah untuk direkodkan dan kemudian dihantar ke Hospital Bannang Sata untuk pemeriksaan tubuh badan sebelum dipindahkan ke Pusat Siasatan Unit Khas Tentera 41,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, Markas Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 meminta kerjasama orang ramai sekiranya terdapat individu yang mencurigakan di kawasan tersebut, untuk melaporkan kepada pihak berkuasa.

Selain itu, perlu dimaklumkan bahawa mereka yang memberikan sokongan kepada pesalah dengan cara yang berbeza, seperti menyembunyikan atau memberi perlindungan atau sokongan makanan, boleh didakwa mengikut Seksyen 189 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih 40,000 baht atau kedua-duanya.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading