NARATHIWAT: Beberapa cara terus digunakan oleh kumpulan bersenjata untuk melakukan serangan terhadap pasukan keselamatan yang mengawal pos kawalan dan sekatan jalan raya di Selatan Thai, sejak kebelakangan ini.

Terbaharu, pihak berkuasa Thailand mengesan tindakan kumpulan terbabit yang menggunakan kereta mainan kawalan jauh untuk mencetuskan letupan kuat.

Ini terbukti apabila satu serangan terhadap anggota di pusat pemeriksaan Maesawa, Ban Bongo di Daerah Rangae, Narathiwat, baru-baru ini, yang menggunakan kereta mainan kawalan jauh.

Serangan menggunakan ‘mercun besar’ yang dipasang pada kereta mainan itu bagaimanapun, tidak mendatangkan sebarang kecederaan.

Sebaliknya ia dipercayai hanya utuk menimbulkan keadaan huru-hara atau satu ujian untuk melakukan serangan lebih besar menggunakan bom sebenar.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan gelagat pelaku menggunakan kereta mainan itu yang dipandu menuju ke arah pusat pemeriksaan berkenaan sebelum berlaku letupan.

Sukarelawan Pertahanan Kampung yang menyiasat tempat kejadian menemukan sebahagian kereta mainan berkenaan bersama serbuk peletup dan beberapa serpihan lain.

Bom bermagnet yang dilekatkan di tempat tersembunyi di bawah kenderaan dan diletupkan menggunakan alat kawalan jauh.

Kumpulan bersenjata juga menggunakan ‘bom magnet’ yang dilekatkan di bawah kenderaan, terutama milik kerajaan atau penjawat awam, sebelum diletupkan.

Sebelum ini, terdapat empat kejadian di mana bom bermagnet ini digunakan iaitu pada:

4 Februari 2025 – Pikap polis meletup di Balai Polis Sri Sakhon dan kereta milik pegawai kerajaan yang diletupkan di Pejabat Daerah Yingo, kedua-duanya di Wilayah Narathiwat;

6 Februari 2025 – Bom dipasang pada trak bomba yang meletup di Majlis Perbandaran Daerah Rueso, Narathiwat;

23 Februari 2025 – Bom dipasang pada pikap anggota bomba dan diletupkan di Lapangan Terbang Narathiwat, beberapa jam sebelum bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra tiba; dan

27 Februari 2015 – Bom dipasang pada trak bomba Perbandaran Daerah Ton Sai meletup di Daerah Ba Cho, Wilayah Narathiwat.

Pemeriksaan rapi pihak berkuasa mendapati bahan letupan buatan penjenayah itu dipasang di dalam kotak plastik yang mengandungi litar dan bateri. Di sebelahnya terdapat tin yang mengandungi bahan letupan.

Siasatan pihak berkuasa mendapati, bom itu mempunyai “magnet berkuasa tinggi bersaiz besar” yang dipasang pada bekas plastik, membolehkan bom itu dilekatkan pada kenderaan dan diletupkan menggunakan alat kawalan jauh.

Sementara itu, satu lagi serangan bom menyasarkan pasukan keselamatan berlaku kira-kira jam 2.05 petang tadi di Daerah Sungai Padi, Narathiwat.

Kejadian berlaku di jalan utama Sungai Padi-Sungai Golok di Ban Bonghumo, Mukim Kawa, ketika sebuah kenderaan berperisai polis melalui kawasan itu.

Letupan menyebabkan dua anggota polis, Asman Daje, 48, dan Maddarus Wado, 35, cedera sebelum dihantar ke Hopital Sungai Padi.

Dalam kejadian berasingan, seorang pegawai tentera maut ditembak dalam satu serangan kumpulan bersenjata ke atas pusat kawalan di Daerah Bannang Sata, Yala.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 9.30 pagi tadi, kata jurucakap polis Bannang Sata yang menerima laporan mengenai serang hendak ke atas pangkalan operasi Kompeni Infantri Kedua, di kawasan Ban Sanambin, Mukim Khuen Bang Lang, Bannang Sata.

Dalam kejadian itu, Lt Phuwiwat Kham Song, 41, cedera parah ditembak di dada kiri meninggal dunia di Hospital Yala.

Lt Phuwiwat Kham Song, 41, cedera parah ditembak di dada kiri dirawat di Hospital Bannang Sata, Yala.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading