NARATHIWAT: Majlis Ugama Islam Narathiwat (MUIN) mendedahkan ada pasangan rakyat Malaysia yang terlanjur sehingga si wanita hamil beberapa bulan, datang untuk berkahwin di Selatan Thai, serta meminta tarikh akad nikah diundurkan.

Tindakan itu bertujuan membolehkan bayi yang akan lahir nanti berbin atau berbintikan pasangan lelaki, dengan mereka mendakwa kononnya untuk memudahkan anak itu bersekolah dan lain-lain, apabila besar kelak.

Yang Dipertua MUIN, Haji Shafie Haji Ibrahim berkata, pihaknya pernah ditawarkan sehingga beribu-ribu ringgit sebagai upah pernikahan itu dengan syarat tarikh akad nikah diundurkan disebabkan pasangan wanita telah hamil.

Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Narathiwat, Haji Shafie Haji Ibrahim.

Menurutnya, sepanjang lebih 30 tahun berkhidmat di MUIN beliau sendiri pernah ditawarkan beribu-ribu ringgit untuk menikahkan pasangan Malaysia yang hamil dan mahu supaya tarikh pernikahan diundurkan.

“Minta maaf lah… saya dan jurunikah bertauliah majlis (MUIN) tak boleh undur tarikh pernikahan… tak boleh… hukumnya tak boleh.

“Anak yang keluar dari perut tu tak boleh disabitkan dengan pasangan… tak boleh jadi bapa… tak boleh terlibat harta pusaka.

“Ada yang kata… kalau nak 50,000 ringgit boleh bagi… ada orang kaya nak bagi lebih lagi supaya boleh undur tarikh nikah… tapi saya kata tak boleh… bukan di Majlis Ugama Islam Narathiwat… kalau tak terima balik lah.

“Nak nikah juga boleh… tapi tarikh dalam sijil perkahwinan adalah pada hari pernikahan,” katanya sambil menjelaskan beliau menerima maklumat ada pasangan yang sedemikian telah bernikah dengan sindiket tertentu.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama media Malaysia di Narathiwat, baru-baru ini.

Haji Shafie menegaskan semua 30 jurunikah MUIN tidak akan mengundurkan tarikh pernikahan disebabkan pasangan wanita telah hamil.

Menurutnya, jurunikah yang dilantik hanya akan melakukan pernikahan di tiga pejabat MUIN iaitu di bandar Narathiwat, di Pekan Sungai Golok, dan di Pekan Rueso.

“Jurunikah MUIN tak buat pernikahan di tempat lain, termasuk atas perahu,” katanya yang mengesahkan ada akad nikah dilakukan di atas perahu.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pasangan yang bernikah di MUIN untuk mendaftar sendiri perkahwinan mereka di Konsulat Malaysia di Songkhla.

“MUIN tak hantar senarai pasangan yang menikah di sini kepada Konsulat Malaysia… kita hanya beri jika diminta,” jelas beliau lagi.

Haji Shafie yang lebih dikenali sebagai ‘Baba Ing’ dalam kelangan penduduk tempatan juga menjelaskan sijil nikah yang dikeluarkan pihaknya mempunyai bukti berupa gambar ketika pernikahan.

“Di sijil nikah tu ada gambar pernikahan… ada wajah jurunikah… saksi… dan pasangan. Ada 30 jurunikah yang kita bagi tauliah…

“Kalau gambar salah seorang tiada dalam sijil nikah bermakna pasangan itu bernikah dengan pihak lain… bukan dengan jurunikah MUIN,” katanya.

Leave a Reply

Trending