Oleh Wartawan ApaKhabarTV
Di era digital yang serba pantas ini, pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) bukan lagi sekadar pilihan, tetapi merupakan satu keperluan. Kemahiran teknologi kini menjadi kunci utama dalam persaingan global, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah (B40), akses kepada pendedahan dan pendidikan STEM yang berkualiti boleh menjadi pemangkin perubahan dalam kehidupan mereka.
Universiti Malaya (UM) amat cakna dan prihatin dalam mendepani cabaran ini. Dalam usahanya memenuhi aspirasi KPT dan Naib Canselor, pelbagai inisiatif berkaitan STEM telah dilaksanakan bagi menyantuni komuniti dalam pelbagai peringkat dan segmen, termasuklah pembelajaran robotik untuk anak-anak golongan B40, pembangunan sistem akuaponik dan isu keterjaminan makanan untuk murid sekolah aliran agama, dan pendedahan kepada pengurusan tanah yang lestari untuk pekebun kecil.
Pembelajaran robotik interaktif pupuk minda inovatif
STEM@UniMadani telah dilancarkan secara rasmi pada Disember 2024 di Sekolah Kebangsaan (2) Sultan Alam Shah (SK(2)SAS), Petaling Jaya. Program ini bukan sekadar satu inisiatif pendidikan, tetapi satu langkah strategik dalam merapatkan jurang pembelajaran antara pelajar luar bandar dan bandar, khususnya mereka dari latar belakang B40. Dengan pembiayaan penuh daripada geran Komuniti@UniMadani oleh Kementerian Kewangan Malaysia, program ini menawarkan pengalaman pembelajaran STEM yang komprehensif dan inklusif.
Setiap hujung minggu sepanjang sesi pengajian 2024/2025, seramai 200 murid dari SK(2)SAS dan komuniti PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur akan berkumpul di Universiti Malaya (UM) untuk sesi pembelajaran robotik dan aktiviti STEM lain. Melalui bimbingan sukarelawan mahasiswa UM, pelajar akan didedahkan kepada asas pengaturcaraan menggunakan Arduino serta meneroka pelbagai aspek teknologi yang relevan dengan keperluan masa depan.




Para peserta diperkenalkan kepada dunia robotik melalui satu aktiviti yang ringkas tetapi menarik, iaitu dengan membina ‘bristlebot’. Robot kecil yang diperbuat daripada berus kecil dan motor getar ini mungkin kelihatan ringkas, namun ia berjaya menarik minat pelajar terhadap konsep asas kejuruteraan dan teknologi.
“Salah seorang peserta begitu teruja dengan ciptaan kecilnya sehingga dia mengajar seluruh ahli keluarganya membuat bristlebot di rumah dan berlumba sesama mereka!” kata Nur Sabrina Amrul Hazli, pengarah program yang juga merupakan mahasiswa tahun kedua jurusan Geologi Gunaan, UM.
Lanjutan daripada sesi pengenalan robotik dengan bristlebot tersebut,peserta turut diberi peluang mengikuti kelas pengaturcaraan robotik mingguan menggunakan papan pengawal mikro Arduino. Selain membina robot, mereka juga belajar menyelesaikan masalah dunia nyata melalui teknologi, menjadikan sesi pembelajaran lebih bermakna dan relevan.
Menurut penasihat program, Prof. Madya Ir. Dr. Khairunnisa Hasikin, STEM@UniMadani bukan sekadar mengajar kemahiran teknikal, tetapi juga membentuk pemimpin masa depan yang bersedia menghadapi cabaran global.
“Melalui program ini, golongan B40 berpeluang menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan memperoleh kemahiran teknologi terkini yang diperlukan untuk bersaing di peringkat global. Ia juga membantu menangani jurang sosial dengan menyediakan akses kepada pendidikan STEM yang berkualiti, sekali gus meningkatkan peluang mereka memperbaiki taraf kehidupan.”


Nur Sabrina turut berkongsi bagaimana STEM@UniMadani bermula daripada kesedaran tentang jurang pendidikan yang semakin melebar pasca pandemik COVID-19. “Idea untuk menganjurkan program ini lahir daripada keperluan mendesak untuk memperkasakan pendidikan STEM di kalangan generasi muda Malaysia, khususnya pelajar daripada golongan B40. Pendidikan STEM mampu membekalkan mereka dengan kemahiran yang relevan untuk bersaing di peringkat global serta menyelesaikan masalah masa hadapan.”
Selain robotik dan pengaturcaraan, program ini juga menawarkan pelbagai aktiviti lain yang menjadikan pembelajaran lebih menarik dan holistik untuk para peserta. Antara aktiviti sampingan yang disediakan adalah sukan pembelajaran, sesi pembelajaran interaktif, serta lawatan sambil belajar ke Petrosains dan Pusat Sains Negara. Pendekatan ini memastikan bahawa setiap peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran teknikal, tetapi juga pemahaman yang lebih luas mengenai kepentingan STEM dalam kehidupan seharian.
“Di sebalik setiap robot kecil yang dihasilkan, ada impian besar yang sedang dibina. Dengan terus menyokong pendidikan STEM dan memastikan akses kepada semua lapisan masyarakat, kita bukan sahaja membuka peluang kepada anak-anak muda, tetapi juga membentuk masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia,” kata Dr. Khairunnisa mengakhiri perbualan.
Solusi keterjaminan makanan di tangan komuniti
Akuaponik-Urbankit, sebuah program inovatif yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keterjaminan makanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah aliran agama, sedang berlangsung dari September 2024 hingga Mac 2025.
Program ini diadakan di dua lokasi utama, iaitu Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dan Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Selangor. Seramai 40 murid terpilih, dengan keutamaan kepada mereka daripada keluarga B40, mengambil bahagian, bersama lima orang guru dari setiap sekolah.




Program ini bukan sekadar memberi pendedahan kepada isu keterjaminan makanan, tetapi juga menggalakkan minat terhadap STEM melalui pendekatan pertanian bandar yang mudah dipelajari dan dipraktikkan. Selain teknik akuaponik, peserta turut diperkenalkan kepada model perniagaan pertanian bandar yang menampilkan kitaran lengkap dari penghasilan hingga pemasaran. Dengan cara ini, pelajar bukan sahaja memahami pentingnya keterjaminan makanan tetapi juga melihat potensi ekonomi dalam bidang ini.
Akuaponik-Urbankit merupakan inisiatif yang menerima tajaan penuh daripada geran pembangunan komuniti Kementerian Kewangan Malaysia dan dianjurkan dengan kerjasama Pusat Jalinan Masyarakat Universiti Malaya (UMCares), MARDI, Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), serta Kolej Kediaman Pertama, UM.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen pelbagai pihak dalam menyokong pendidikan berasaskan pengalaman (experiential learning) bagi memperkukuh kefahaman tentang keterjaminan makanan dan pertanian bandar,” kata Dr. Mohd Istajib Mokhtar, Pengetua Kolej Kediaman Pertama, UM dan penasihat program.
Menurut beliau yang juga merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, UM, keterjaminan makanan adalah krisis global yang semakin mendesak akibat pertumbuhan populasi, perubahan iklim, serta ketidakstabilan geopolitik yang menjejaskan bekalan makanan dunia.
“Pendidikan dan kesedaran sejak usia muda menjadi kunci untuk membentuk generasi yang lebih peka terhadap kepentingan keterjaminan makanan. Di peringkat sekolah menengah, silibus Rekabentuk Teknologi (RBT) sebenarnya telah menyentuh tentang sistem akuaponik, namun tidak semua sekolah mempunyai peluang untuk mengaplikasikannya secara praktikal. Oleh itu, dengan pendedahan teori dan amali yang lebih menyeluruh melalui program Akuaponik-Urbankit ini, kesedaran terhadap keterjaminan makanan berpotensi untuk diperkukuh dengan lebih menyeluruh,” katanya.
Dengan penyertaan mahasiswa UM sebagai sukarelawan, program ini juga menyediakan platform pembelajaran silang budaya, di mana pelajar sekolah dan mahasiswa dari pelbagai latar belakang dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dalam usaha menjadikan keterjaminan makanan sebagai satu realiti yang mampan.
Akuaponik-Urbankit bukan sekadar sebuah projek pendidikan tetapi satu usaha holistik yang merentas kurikulum, memperkukuh pembelajaran STEM, serta memupuk kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar dan guru.
Dengan keterlibatan pelbagai pihak berkepentingan, program ini bukan sahaja membantu membina kefahaman yang lebih mendalam tentang keterjaminan makanan, tetapi juga melahirkan generasi yang lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan.
Wira tanah lestari
Universiti Malaya Soil Doctor Programme (UMSDP) merupakan satu inisiatif yang bertujuan memperkasa golongan petani dengan pengetahuan tentang pengurusan tanah yang lestari. Program ini telah berlangsung pada 28 Disember 2024 di Kampung Seri Bunian, Pontian, Johor, dengan penyertaan 30 orang petani setempat, serta 20 orang mahasiswa dari Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya.
Menurut Dr. Rosazlin Abdullah, Pensyarah Kanan di Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, UM yang juga merupakan penasihat program, program ini bertujuan memberi pendedahan kepada inovasi mudah dan penyelesaian praktikal dalam pengurusan tanah, khususnya tanah gambut.




“Tanah gambut merupakan ekosistem unik yang kaya dengan bahan organik dan bertindak sebagai penyimpan karbon utama global. Namun, amalan pengurusan yang tidak lestari seperti pengeringan dan pembakaran tanah gambut telah menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang tinggi, lantas mempercepatkan perubahan iklim.
“Oleh itu, peserta telah didedahkan kepada strategi mitigasi seperti penggunaan biochar, tanaman penutup tanah, dan sistem saliran terkawal yang dapat mengurangkan pelepasan karbon, selain memperkenalkan pendekatan paludikultur sebagai satu kaedah pengurusan mampan,” katanya lagi.
Selain itu, peserta juga turut diperkenalkan dengan inovasi teknologi pengesanan asap pembakaran tanah gambut, yang membolehkan tindakan pencegahan dilakukan lebih awal bagi mengelakkan pencemaran udara.
“Pendedahan kepada pendekatan saintifik ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran peserta tentang peranan tanah dalam kitaran ekologi tetapi juga memperkukuh kefahaman mereka tentang kepentingan STEM dalam kehidupan seharian,” kata Dr. Rosazlin.
Bagi para mahasiswa UM yang terlibat, program ini bukan sahaja memberikan pengalaman berharga dalam mengaplikasikan pengetahuan akademik mereka tetapi juga memperkukuhkan keyakinan mereka sebagai duta sains dalam masyarakat.
Masturina Mirza Mazuki, pelajar tahun kedua Sarjana Muda Sains Pengurusan Alam Sekitar, UM, yang juga merupakan ketua sukarelawan program, berkongsi pengalamannya. Beliau menyatakan kegembiraannya kerana dapat menerapkan ilmu yang dipelajari dalam bilik kuliah ke dalam situasi sebenar, sekaligus membantu komuniti petani memahami teknik pengurusan tanah yang lebih lestari.
“Bagi saya, pengalaman ini bukan sekadar latihan praktikal tetapi juga satu peluang untuk melihat sendiri bagaimana pendidikan STEM boleh dimanfaatkan dalam menyelesaikan permasalahan komuniti dan alam sekitar,” katanya bersungguh-sungguh.
Program ini dijalankan dengan kerjasama JKKK Kampung Seri Bunian dan Jabatan Pertanian Malaysia, badan yang bertanggungjawab melaksanakan gerakan Soil Doctor Programme (SDP) di seluruh negara.
“Dengan adanya inisiatif seperti ini, diharapkan lebih banyak komuniti luar bandar dapat menerima manfaat dan mengamalkan pertanian lestari, sekaligus menyumbang kepada kelestarian ekosistem dan kesejahteraan masyarakat,” kata Masturina mengakhiri perbualan.






Leave a Reply