Thailand mengurangkan kira-kira 30 peratus daripada kos mengerjakan haji tahun ini (2025/1446H), dengan segala kemudahan adalah setara dengan kadar yang dikenakan sebelum ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Sabida Thaiseth berkata kos asas setiap jemaah dikurangkan daripada 250,000 baht (kira-kira RM32,750) kepada 173,000 hingga 187,000 baht (RM22,700 hingga RM24,470).

Katanya, penurunan kos itu adalah hasil daripada rundingan untuk mengurangkan bayaran perkhidmatan asas, tambang penerbangan, dan membenarkan penggunaan penerbangan komersial buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.

“Langkah itu adalah hasil usaha kementeriannya tanpa mengurangkan kualiti, sambil mempromosikan program ‘Haji 5G 5Baik’,” katanya sambil menambah Program ‘Haji 5G 5Baik’ merujuk kepada Harga Baik, Perkhidmatan Baik, Penjagaan Baik, Kesihatan Baik dan Hubungan Baik.

Menurutnya, Kementerian Dalam Negeri mementingkan penjagaan semua warga Thailand tanpa diskriminasi kaum atau agama kerana setiap orang adalah rakyat Thai.

“Daripada pelbagai langkah yang dicadangkan Kementerian Dalam Negeri dan diluluskan Kabinet ialah berkaitan perbelanjaan perjalanan menunaikan haji dikurangkan kepada hanya kira-kira 180,000 baht, manakala kualitinya tidak berkurangan.

“Ini adalah manfaat yang besar kepada umat Islam Thai kerana pada masa lalu, ada di antara mereka yang terpaksa membayar sehingga 300,000 baht (RM39,300), malah ada yang ditipu,” katanya semalam.

Sabida berkata, untuk tahun ini seramai 6,603 jemaah dari Thailand akan mengerjakan haji di bawah konsep ‘Haji 5G 5Good’ kelolaan Kementerian Dalam Negeri.

Selain itu, beliau menjelaskan kementeriannya juga bercadang mengambil langkah penting untuk mengawal kos mengerjakan haji tidak melebihi 195,000 baht (RM25,526) seorang mulai 2026 dan seterusnya.

Katanya, kerajaan juga mengarahkan beberapa kemudahan mengerjakan haji dipertingkatkan, termasuk penerbangan di Lapangan Terbang Hat Yai, Songkhla dan menambah penerbangan di Lapangan Terbang Narathiwat.

Kedua-dua lapangan terbang itu terletak di Selatan Thai di mana majoriti penduduk, terutama di Narathiwat, Yala dan Pattani, adalah beragama Islam.

Leave a Reply

Trending