Umat Islam di lima negara – Malaysia, Thailand, Brunei, Filipina, dan Singapura – akan mula berpuasa pada Ahad (2 Mac 2025), manakala Indonesia pula menetapkan 1 Ramadan 1446H adalah esok (Sabtu).

Di KUALA LUMPUR, tarikh bermula puasa di Malaysia diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Proses melihat bulan Ramadan berlangsung petang tadi di 29 lokasi di seluruh negara.

Antaranya Pontian Kecil, Johor dan Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara di Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson, Negri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor di Sabak Bernam.

Di BRUNEI, anak bulan Ramadan juga tidak kelihatan. Ini bermakna Ahad, 2 Mac akan bersamaan dengan hari pertama Ramadan.

Di FILIPINA, Suruhanjaya Kebangsaan Berkaitan Muslim Filipina adalah agensi kerajaan yang dipertanggungjawabkan untuk memberikan maklumat tepat berhubung permulaan bulan Ramadan.

Suruhanjaya itu mengesahkan bahawa tiada penampakan anak bulan Ramadan di negara itu dan hari pertama puasa di Filipina ditetapkan pada Ahad, 2 Mac.

Di SINGAPURA, Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir berkata Ahad (2 Mac) adalah hari pertama bulan Ramadan.

Ketika mengumumkan tarikh tersebut, beliau menyatakan bahawa mengikut perkiraan astronomi pada waktu matahari terbenam petang Jumaat atau 29 Syaaban, bulan berada pada sudut 5.1 darjah dengan ketinggian 4.3 darjah.

Pengiraan ini tidak memenuhi kriteria rukyah seperti yang dipersetujui oleh negara anggota MABIMS (Brunei, Malaysia, Indonesia dan Singapura).

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa hari pertama berpuasa untuk bulan Ramadan jatuh pada lusa, Ahad, 2 Mac 2025,” kata Dr Nazirudin.

Di THAILAND, Sheikhul Islam Thailand mengumumkan anak bulan Ramadan tidak kelihatan, sekali gus bermakna 2 Mac adalah hari pertama umat Islam negara itu memulakan puasa.

Pengumuman tarikh 1 Ramadan 1446H itu dibuat Sheikhul Islam Thailand, Arun Boonchom ke seluruh negara, malam ini.

Di INDONESIA, Agensi Berita Indonesia Antara melaporkan Kementerian Agama menetapkan awal puasa atau 1 Ramadan 1446H jatuh pada Sabtu, 1 Mac 2025.

Perkara itu diputuskan menerusi Sidang Isbat di Bangunan Kementerian Agama Indonesia, Jakarta, hari ini.

apakhabartv.com turut mengucapkan selamat menyambut ramadan 2025 kepada seluruh umat Islam, tidak kira di mana sahaja berada.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading