NARATHIWAT: “Alhamdulillah… sihat,” kata penyanyi sohor irama dikir barat Kelantan, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30.

Dalam pertemuan kira-kira 20 minit bersama tiga kumpulan media Malaysia – apakhabartv.com; Utusan Malaysia; dan Sinar Harian – di Penjara Pusat Narathiwat semalam, Eda bagaimanapun memaklumkan rindu untuk memeluk dua anaknya.

Air matanya hampir tumpah mengenangkan kedua-dua anaknya yang telah hampir empat bulan ditinggalkan, sementelahan tidak lama lagi umat Islam akan menyambut awal Ramadan.

Wakil apakhabartv.com menemubual penyanyi dikir barat Kelantan, Eda Ezrin di Penjara Pusat Narathiwat, semalam (26 Februari 2025).

Menjelaskan lebih lanjut kehidupannya di dalam penjara berkenaan dia yang lebih dikenali sebagai Eda Ezrin berkata, layanan yang diterima sama seperti tahanan lain.

“Kami dilayan dengan baik… makan minum sentiasa terjaga. Tiada apa-apa masalah dan saya sentiasa sihat… tidak demam atau sakit.

“Dari segi makanan… alhamdulillah… semua ok. Banyak aktiviti dijalankan di dalam penjara.,” katanya yang awalnya kelihatan ceria bercerita.

Katanya, pihak penjara menyediakan guru agama dan mereka bukan juga digalakkan lebih banyak beribadat.

Ditanya mengenai kegiatannya Eda Ezrin berkata, dia lebih banyak belajar membaca al-Quran, beribadat, solat dan mendalami bahasa Thai.

“Alhamdulillah saya banyak belajar mengaji (membaca) al-Quran,” katanya.

Namun, apabila ditanya mengenai keluarga, terutama kedua-dua anaknya, mukanya mula suram dan seketika terpaksa mengesat sedikit air mata.

“Memang rindukan anak… keluarga… walaupun mereka kerap datang melawat. Tetapi berbeza dengan keadaan luar,” katanya sambil menyampaikan salam kepada semua peminatnya.

Ditanya mengenai harapannya, Eda Ezrin yakin 90 peratus akan dibebaskan daripada pertuduhan bersama memiliki 6,059 biji pil methamphetamine iaitu dadah yang dikelaskan dalam Kategori 1 di Thailand.

Untuk rekod, Eda Ezrin berdepan pertuduhan itu bersamasuaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, serta empat rakan mereka, Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33 (isteri Mohamad Alif); Erdieka Mohd Noor, 33; dan isterinya, Zuhaira Nasrin, 26.

Mereka ditahan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat, pada 1 November tahun lalu dan mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah sama pada 14 Januari lalu. Bagaimanapun, mereka mengaku salah menggunakan atau memasukkan dadah ke dalam tubuh

Perbicaraan kes mereka di Mahkamah Wilayah Narathiwat berakhir 14 Februari lalu dan keputusan kes itu dijangka diumum 6 Mac ini.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading