
SELATAN THAI: Kesungguhan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk cuba menyelesaikan konflik di Selatan Thai yang berterusan sejak hampir 21 tahun lalu, mesti diberi sokongan penuh.
“Mengikut kaedah Islam sokongan mesti diberikan dalam usaha mewujudkan keadaan aman damai.
“Itulah cara Islam… membantu menyelesaikan masalah dan kita pula perlu menyokong usaha itu,” kata Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Haji Shafie Haji Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tanggungjawab yang digalas oleh Anwar dan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam hal ehwal Selatan Thai.
Bercakap kepada wartawan Malaysia di pejabatnya di Narathiwat, beliau berkata umat Islam di negara ini berharap Anwar berjaya memainkan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam menyelesaikan konflik berpanjangan di Selatan Thai.
“Kami berdoa supaya Anwar dapat menyelesaikan segala kekusutan ini. Tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan.
“Saya percaya ia (masalah di Selatan Thai) dapat diselesaikan melalui rundingan damai,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau mengulas perkara ini berasaskan kepada kedudukannya sebagai ketua agama Islam di Narathiwat.
Anwar, yang sememangnya secara peribadi dikenali ramai di selatan Thailand, berjanji untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi memudahkan proses damai.
Malaysia merupakan fasilitator bagi proses dialog damai dalam menamatkan konflik berpuluh tahun di selatan Thailand.
Baharu-baharu ini Anwat turut melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai Penasihat Pengerusi ASEAN-Malaysia 2025.
Thaksin juga mengesahkan lawatan beliau ke tiga wilayah Selatan Thai Ahad lalu adalah atas ‘arahan’ Anwar dan dilakukannya sebagai penasihat kepada Pengerusi ASEAN-Malaysia 2025.
“Lawatan saya ini adalah atas kapasiti sebagai penasihat Pengerusi ASEAN-Malaysia 2025 (Anwar) yang memberi keutamaan untuk melihat keamanan di Selatan Thai.
“Saya mahu melihat sendiri keadaan semasa di Selatan Thai… meneruskan tugas yang tertangguh dahulu (mencapai keamanan) yang telah mengambil masa lama.
“Penyelesaian masalah mesti diperoleh dan sebarang kejadian perlu berakhir dalam pentadbiran anak saya (Paetongtarn),” katanya sambil menegaskan apa yang dilihatnya dalam lawatan ini akan dimaklumkan kepada Anwar.






Leave a Reply