SELATAN THAI: Pihak berkuasa Thailand bercadang menutup semua lintasan haram dan ‘lorong tikus’ di sempadan dengan Malaysia, khususnya yang melibatkan Wilayah Narathiwat dan Kelantan.

Pada masa sama, pihak berkuasa Thai juga meningkatkan kawalan di sempadan Thailand-Malaysia dalam usaha mengekang penyeludupan pelbagai barangan, khususnya dadah, serta menghalang anggota kumpulan bersenjata daripada melarikan diri ke negara jiran.

Cadangan itu dikemukakan Komander Tentera Bahagian Keempat, Lt Jeneral Paisal Noosang pada mesyuarat bersama Menteri Pertahanan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Vejjayachai, di Hat Yai, semalam.

Menteri Pertahanan Thailand ang juga Timbalan Perdana Menteri, Phumtham Vejjayachai.

Mesyuarat berkenaan dimaklumkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 73 lintasan haram di sepanjang 95 kilometer sempadan Narathiwat-Kelantan yang sering digunakan sebagai laluan penjenayah dan kumpulan penyeludup.

Jumlah lintasan haram yang dikesan paling banyak adalah di sepanjang Daerah Sungai Golok dan Daerah Waeng.

Cadangan itu menyusul langkah Polis Diraja Malaysia menutup semua pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok berkuat kuasa 1 Disember tahun lalu.

PDRM telah menempatkan anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk melakukan pemantauan 24 jam di sempadan.

Individu sama ada rakyat Malaysia atau Thailand yang ditahan kerana menyeberangi secara haram akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan.

Phumtham berkata, kerajaan Thai juga kini menyesuaikan semula strategi pembangunan dan keselamatan di Selatan Thai, khususnya di Narathiwat, Pattani dan Yala.

“Kerajaan kini telah menyesuaikan strategi kerja di wilayah sempadan selatan yang bermasalah sejak berdekad lalu. Mesti ada kajian semula yang lebih jelas untuk mengurangkan tugas dan risiko kepada polis, tentera, dan agensi kerajaan lain.

“Falsafah ‘memahami, mendekati dan mengembangkan’ akan digunakan untuk mencipta faedah dan menjadi lebih ketara supaya semua kerja mencapai matlamatnya,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata, kerajaan memberi lampu hijau untuk mengekang kumpulan bersenjata di Selatan Thai dengan bertindak memotong sumber kewangan mereka.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading