Thailand terkenal di seluruh dunia dengan landskap dan geografi yang menakjubkan. Sebuah negara yang mencampurkan banyak pengaruh dan tradisi, Thailand juga mempunyai iklim tropika dan monsun yang pelbagai.

Bagi apakhabartv.com, kami dapat melihat banyak destinasi pelancongan yang inovatif, termasuk pusat peranginan tropika yang unik dan jarang sekali terdedah kepada umum, khususnya pelancong dari Malaysia dan Indonesia.

Mungkin kerana mereka yang ‘melarikan diri’ daripada kebisingan kota raya berpuas hati dengan bersantai di tepi kolam renang atau bersiar-siar di sepanjang pantai, lalu mereka tidak mencari sesuatu yang lebih tenang.

Jelapee Resort and Bistro sesuai untuk riadah bersama keluarga.

Nah, jika anda mahu mencari sesuatu yang lebih tenang dan tenteram, cuba cari pusat peranginan tropika yang unik di sekitar Wilayah Pattani dan Narathiwat di Selatan Thai.

Tersembunyi di celah-celah pepohon kelapa di Pantai Bang Sai, Teluk Leweng, Mai Kaen, Wilayah Pattani di Selatan Thai, Jelapee Resort and Bistro, menawarkan kepada anda kelainan dan keaslian suasana tropika.

Menghadap Teluk Thailand dengan pasir pantai memutih Pantai Bang Sai, yang bersempadan antara Wilayah Pattani dan Narathiwat, belum lagi tercemar dengan pembangunan bangunan batu.

Beberapa kemudahan termasuk peralatan membakar makanan laut turut disediakan pihak pengurusan Jelapee Resort and Bistro di Teluk Leweng, Pattani.

Justeru, Jelapee Resort and Bistro menjadi pilihan dan kegemaran jabatan kerajaan di Selatan Thai, termasuk sekolah untuk menjalankan pelbagai aktiviti kepada kakitangan dan pelajar.

“Jelapee Restor and Bistro ini belum lagi terdedah sepenuhnya kepada pelancong asing, terutama dari Malaysia dan negara-negara Asean lain.

“Antaranya disebabkan kedudukannya di kawasan perkampungan yang seolah-olah tersembunyi. Sedangkan, persekitaran dan pantainya tidak kurang hebat berbanding pantai lain di Pattani dan Narathiwat,” kata pengusaha resort itu, Nik Rosli Nik Mat.

Nik Rosli Nik Mat.

Bersama beberapa rakan sekolahnya, beliau yang turut terlibat sebagai ejen pelancongan d Selatan Thai, mula membangunkan resort berkenaan sejak kira-kira 10 tahun lalu.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, pelancong, khususnya dari Malaysia, lebih tertumpu kepada beberapa pantai di sekitar kawasan ini, terutama di Pantai Ban Thon yang telah mula membangun.

“Tetapi jika inginkan suasana tenang, damai dan suasana kampung… maka Jelapee Resort and Bistro menawarkan kemudahan kepada anda,” katanya ketika hadir meraikan satu keluarga yang terdiri daripada kira-kira 30 rakyat Malaysia yang bersantai di resort itu, baru-baru ini.

Jelapee Resort and Bistro menawarkan bilik tidur berhawa dingin, sebuah dewan yang boleh dijadikan tempat tidur kira-kira 20 orang serta tiga buah chalet beratap nipah untuk dua orang.

Harga bagi semua bilik tidur berkenaan adalah antara 500 baht (RM65) hingga 700 baht (RM92) untuk satu malam.

Pengurus resort berkenaan yang hanya dikenali sebagai Abe Ali pula memberitahu pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk peralatan untuk membakar ikan dan minuman panas percuma.

“Pelancong boleh juga membawa khemah sendiri untuk bermalam di sekitar kawasan resort ini. Buat sementara waktu ini, kami tidak mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Di kawasan sekitar resort itu terdapat juga penduduk menjual pelbagai jenis makanan pada waktu pagi, khususnya kueh tradisional tempatan dengan harga yang sangat murah.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi talian +66862905227 atau layari laman Facebook Jelapee Resort and Bistro https://www.facebook.com/profile.php?id=100069339502085

Klik gambar untuk lokasi Jelapee Resort and Bistro.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading