SELATAN THAI: Sekurang-kurangnya tujuh cedera – enam daripadanya anggota polis dan seorang kanak-kanak – dalam satu serangan bom oleh pihak yang tidak dikenali di Daerah Sai Buri, Pattani, pagi semalam (3 Januari 2025).

Kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi di hadapan Sekolah Ban Kalapo di Mukim Trobon, Sai Buri yang terletak di lebuh raya utama (Lebuhraya 42) dari Narathiwat ke Pattani.

Kumpulan yang tidak dikenali dilaporkan memasang bom pada bateri lampu papan tanda ‘Berhenti Untuk Pemeriksaan’ yang digunakan pihak polis untuk melakukan sekatan jalan raya.

Kejadian berlaku ketika anggota polis trafik Balai Polis Sai Buri sedang membuat sekatan jalan raya di hadapan sekolah berkenaan.

Siasatan awal polis menunjukkan bahawa ia adalah bahan letupan buatan sendiri yang diletakkan di dalam kotak keluli seberat kira-kira lima kilogram.

Bom itu diletupkan, dipercayai menggunakan alat kawalan jauh ketika anggota polis bersiap sedia untuk mengadakan sekatan jalan raya.

Dalam letupan itu seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang berada berhampiran cedera di kening akibat terkena serpihan tajam.

Siasatan lanjut mendedahkan bahawa di tempat kejadian, anggota polis biasanya melakukan pemeriksaan, terutama ketika tempoh tujuh hari musim perayaan Tahun Baharu. Oleh itu, mereka tidak membawa pulang papan “Berhenti Untuk Pemeriksaan” ke balai polis.

Disebabkan perkara itu menjadi kebiasaan, pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mengubah suai alat letupan dan menyembunyikannya di dalam petak bateri papan tanda lampu berkenaan.

Sementara itu, dalam satu lagi kejadian kira-kira jam 7.30 malam tadi, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang pos polis di Kok Pho, juga di Pattani. Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan.

Lima anggota polis dikatakan bertugas di tempat kejadian apabila dua individu menaiki motosikal melepaskan tembakan dari jarak kira-kira 100 meter ke arah mereka.

Serangan berkenaan dilakukan dari arah belakang hanya mengenai bahagian atap dan tiang pos kawalan itu, sebelum kumpulan terbabit melarikan diri. Anggota polis tidak membalas serangan kerana kawasan itu berdekatan rumah penduduk.

Leave a Reply

Trending