
SELATAN THAI: Agensi Perkhidmatan Kereta Api Thailand (SRT) membatalkan beberapa perkhidmatan di wilayah sempadan selatan, manakala syarikat bas pula tidak boleh keluar dari Daerah Hat Yai di Songkhla, sehingga diberitahu kelak, susulan hujan lebat yang menyebabkan landasan serta jalan raya dinaiki air.
SRT pada Jumaat (29 November 2024) mengumumkan pembatalan tiga perkhidmatan kereta api ekspres khas dan satu kereta api laju ke Hat Yai dan stesen paling selatan lain kerana hujan lebat merosakkan landasan di wilayah itu.
Kereta api yang dibatalkan termasuk:
- Kereta api ekspres khas No. 31/32: Bangkok – Hat Yai – Bangkok;
- Kereta api ekspres khas No. 37/38: Bangkok – Sungai Golok – Bangkok;
- Kereta api ekspres khas No. 45/46: Bangkok – Padang Besar – Bangkok; dan
- Kereta api laju No 171/172: Bangkok – Sungai Golok – Bangkok.
SRT berkata kereta api laju No. 169/170 antara Bangkok dan Yala kini akan menamatkan perkhidmatannya di Stesen Phatthalung.

Transport Co, syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan pula berkata semua bas dari Bangkok ke Yala, Pattani dan Sungai Golok akan hanya berhenti di Hat Yai.
Semua stesen bas dan banyak jalan di wilayah paling selatan ditenggelami banjir. Laluan bas antara Bangkok dan Songkhla melalui Hat Yai juga menamatkan operasinya di Hat Yai.
Syarikat kereta api dan bas melaporkan bahawa perubahan ini akan kekal berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.
Sementara itu, rakyat Malaysia diminta mengelak perjalanan ke Selatan Thai ketika tujuh wilayah sempadan selatan itu berdepan banjir dan hujan lebat yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang sejak tiga hari lalu.
Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi, menggesa rakyat Malaysia menangguhkan rancangan untuk melawat Thailand.
“Saya menasihatkan rakyat Malaysia yang kini berada di Selatan Thai supaya berhati-hati susulan banyak tempat diisytiharkan kawasan bencana.
“Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan banjir teruk, memaksa ribuan penduduk di seluruh wilayah Selatan Thai dipindahkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Fahmi secara peribadi turut membantu wartawan Apa Khabar TV yang terkandas di Bandar Narathiwat sejak empat hari lalu.
Untuk rekod, rakyat Malaysia berada di tempat kedua selepas China dalam jumlah pelancong yang melaway Thailand.

Menurut data dari Januari hingga Oktober tahun ini yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan dan Sukan, sejumlah 4.1 juta rakyat Malaysia melawat Thailand, manakala 5.7 juta adalah pelancong China.
Daerah Hat Yai adalah salah satu destinasi kegemaran rakyat Malaysia, selain Sungai Golok, bandar di Narathiwat yang bersempadan dengan Rantau Panjang, Kelantan.
Bagaimanapun, sejak semalam Hat Yai telah diisytiharkan sebagai zon bencana, susulan hujan lebat dan banjir.
Jabatan Meteorologi hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat di wilayah selatan sepanjang Teluk Thailand akan berterusan sehingga Sabtu.






Leave a Reply