NARATHIWAT (Selatan Thai): Dipelawa oleh rakan untuk melawat Thailand, seorang lelaki rakyat Malaysia nyaris menjadi mangsa rangkaian kumpulan pemerdagangan manusia yang sudah bersedia menyeludupnya ke Myanmar melalui sungai dan laluan dalam hutan.

Bagaimanapun, mangsa yang mendakwa adalah jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyaki sesuatu ketika tiba di satu kawasan hutan di Daerah Phop Phra, Wilayah Tak, Thailand, lapor Marginal News Agency (MNA) – agensi berita Thailand yang menumpukan kepada isu masyarakat merentasi sempadan dan hak asasi manusia.

Menceritakan rentetan kejadian kepada MNA, Afad (bukan nama sebenar) berkata dia dipelawa oleh seorang rakan untuk melawat Thailand.

“Saya tiba di Thailand pada 1 November (kelmarin) untuk bertemu seorang rakan. Bagaimanapun, apabila tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi rakan saya memaklumkan bahawa dia tidak dapat menjemput saya.

“Dia memaklumkan telah menghantar pemandu persendirian untuk menjemput saya… dan saya pun mengikut pemandu berkenaan. Tetapi selepas kira-kira 7 jam perjalanan, saya belum sampai ke destinasi,” katanya.

Afad kemudian menghubungi rakannya yang berkeras memintanya mengikut pemandu terbabit.

“Sehingga kira-kira jam 3 pagi hari ini (2 November), pemandu berkenaan membawa saya ke dalam hutan dan saya mendapati terdapat enam lelaki dan empat wanita menunggu di dalam kereta yang diletakkan di dalam hutan itu.

“Kemudian, seseorang menyuruh saya mengikut mereka dan saya akan berjumpa dengan rakan saya. Tetapi apabila saya menyemak lokasi di peta Google pada telefon saya… saya tahu bahawa di hadapan adalah Myanmar.

“Jadi saya menelefon rakan saya semula dan masih mendapat jawapan yang sama iaitu menyuruh saya mengikut kumpulan berkenaan. Jadi saya ikut mereka masuk ke dalam hutan,” katanya.

Menurutnya dan dan kumpulan berkenaan berjalan di dalam hutam selama 30 minit dan kira-kira jam 4 pagi mereka tiba di sebuah rumah yang dikawal dua lelaki.

“Terdapat sungai dan sebuah bot berhampiran. Saya berasakan keadaan tidak selamat. Apabila saya menghubungi rakan saya sekali lagi dia memberitahu supaya saya mengikut kumpulan berkenaan dan dia akan menunggu di seberang.

“Saya bertanya kepadanya ke mana akan dibawa, tetapi dia menyuruh saya meneruskan perjalanan. Jadi saya berasa tidak selamat dan memutuskan untuk melawan kumpulan terbabit sebelum melarikan diri.

Afad mendakwa dia adalah jurulatih polis Malaysia dan dapat melawan kumpulan itu sebelum melarikan diri dengan selamat.

Dia mengambil masa yang lama untuk berlari dan berjalan sehingga tiba di balai polis di Daerah Phop Phra, Thailand kira-kira jam 10 pagi.

“Saya meminta bantuan polis Thailand dan memutuskan untuk melaporkan kejadian itu serta meminta polis membantu mengesan pelaku… Saya hanya ada telefon dan pasport… wang tunai serta beg pakaian masih bersama kumpulan yang cuba membawa saya melintasi sempadan ke Myanmar.

“Wang tunai dalam beg itu kesemuanya baht Thailand, tukaran daripada RM2,000 Malaysia. Jika saya membuat keputusan mengikut kumpulan berkenaan, saya tidak akan kembali lagi,” kata Afad.

Mangsa dan beg pakaian yang telah dijumpai.

Memetik laporan MNA, Pegawai Penyiasat Balai Polis Phop Phra, Pol Lt Kol Sitthiphon Srimarat mengesahkan seorang lelaki warga Malaysia datang meminta bantuan di balai polis berkenaan.

“Lelaki ini mempunyai pasport yang sah dan kemudiannya didapati dia telah memasuki Thailand menaiki kapal terbang bersama seorang rakan yang telah mengaturkan supaya dia dijemput di lapangan terbang.

“Dia tiba di sempadan Phop Phra pada waktu pagi dan hendak dibawa menyeberang ke negara jiran… tetapi dia tidak mengikut kumpulan itu sebaliknya melarikan diri dan meminta bantuan polis.

“Saya telah menghubungi kedutaan Malaysia di Thailand dan sekarang ini dia tinggal bersama kami… dia selamat sekarang.

” Kami telah menghantar sepasukan anggota polis ke kawasan di mana dia dibawa untuk menyeberang. Ternyata begnya ada… tetapi wang dan kad ATM hilang. Kami sedang menyelaraskan dengan agensi berkaitan untuk membenarkan dia pulang ke Malaysia,” katanya.

Pol Lt Kol Sitthiphon berkata, maklumat dalam telefon warga Malaysia itu boleh membantu pihak berkuasa mengetahui laluan perjalanannya, yang mungkin akan diperincikan kemudian.

“Dia berkata dia mengembara sendirian dan seorang rakan sedang menunggu untuk menjemputnya di lapangan terbang. Nasib baik, dia berjaga-jaga dan berjaya melarikan diri, jika tidak dia akan menjadi mangsa lain,” kata Pol Lt Kol Sitthiphon.

Media melaporkan kawasan di mana Afad dibawa untuk menyeberang sungai adalah hab jenayah utama yang penuh dengan kekejaman dikendalikan kumpulan mafia Cina. Kumpulan mafia itu dikatakan berpindah dari Laukkai di Kokang, Myanmar selepas tindakan keras pihak berkuasa awal tahun ini.

Manakala, kawasan di sebelah Myawaddy, Myanmar yang bertentangan dengan Mukim Sang Khaep, Daerah Phop Phra, Thailand pula adalah kawasan yang dikuasaTentera Demokratik Karen Buddha (DKBA).

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading