Oleh Dato’ Dr Mohd Radzi Abd Latif
Semua pihak perlu menginsafi, kunci Malaysia adalah kestabilan. Begitulah besar nilai dan pentingnya kestabilan. Dengan kunci ini, membolehkan negara membuat perancangan pembangunan. Ia menjana kegiatan sosioekonomi, seterusnya membawa seluruh rakyat masuk ke gerbang kemakmuran bersama.
Usaha dan kesungguhan semua pemegang taruh menjayakan dasar berkaitan menerusi pelaksanaan program terancang yang akhirnya dapat mewujudkan persefahaman dan perpaduan. Seterusnya, ia mencipta keharmonian yang menjadi kunci Malaysia iaitu kestabilan.
Menjadi kebimbangan semua pihak apabila kebelakangan ini apabila muncul anasirtidak sihat yang ‘menggunjing’ kestabilan di sana-sini. Gerombolan ini mungkin membawa agenda tangan ghaib untuk menggugat kestabilan negara.
Rentetan tindakan dan provokasi mereka yang mencolok sentimen dengan niat dan matlamat termasuk menyasarkan persefahaman, perpaduan dan keharmonian rakyat bertukar menjadi sebaliknya.
Senario sebegini melarat dan kini dikaitkan dengan politik. Ini menjadikan keadaan semakin keruh. Pertelingkahan dalam media sosial mencerminkan rakyat Malaysia belum dapat menyelesaikan isu perpaduan bagi mewujudkan keharmonian nasional sebagai pasak dan tonggak kestabilan nasional.
Untuk menjamin keharmonian dipelihara dan diperkasa, semua pihak mesti berfikiran positif di luar kotak atau perlu menongkah arus bagi mendapatkan formula baru keharmonian sesuai perubahan zaman. Keharmonian tika ini diancam pemikiran dan agenda yang menggunakan teknologi serta strategi berbeza yang sangat toksid.
Jadi, keharmonian 2.0 dengan kerangka baru mesti diwujudkan. Ia mesti diberinafas, perspektif dan tafsiran baru. Ruang litup maksud dan rasional perlu lebih meluas serta mendalam. Ruang untuk ia tumbuh secara dinamik dan organik mesti disediakan.
Perancangan termasuk mengenal pasti potensi, ancaman dan halangan bahkan nilainya kepada kestabilan dan kemakmuran negara mesti disediakan.
Kewujudan gagasan ini perlu diperkuatkan dengan peraturan, etika dan galakkan bahkan undang-undang supaya keharmonian menjadi darah daging setiap rakyat Malaysia. Keharmonian mesti menjadi nilai dan gaya hidup. Setiap rakyat mesti menyumbang ke arah kestabilan negara. Pengganggu gugat keharmonian mesti dikenakan hukuman berat.
Program pemerkasaan keharmonian mesti diberi keutamaan sewajarnya menerusi bajet Negeri mahupun Persekutuan. Ia mesti dipupuk di semua peringkat institusi pendidikan, tempat kerja dan zon kediaman serta komuniti supaya dalam tempoh terdekat menjadi amalan, pegangan dan seterusnya budaya rakyat.
Tiba masanya, semua parti politik mesti sepakat merintis jalan ke arah penubuhan Suruhanjaya Diraja Keharmonian Nasional. Badan ini mampu meningkatkan jaminandan perlindungan kepada keharmonian nasional. Ia dipengerusikan bersama Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang.
Diterajui seorang pesuruhjaya dan mempunyai struktur organisasi. Beri sumber kuasa dan akta perlindungan untuk suruhanjaya bertindak bagi memastikan keharmonian negara terpelihara.
Suruhanjaya ini boleh dipautkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu selaku ibu organisasi tertinggi dan antara akar tunjang sebuah negara dan bangsa. Status diraja adalah pernyataan atau manifestasi betapa pentingnya keharmonian. Ia mesti diangkat menjadi agenda nasional. Ia wajib dilaksanakan oleh mana-mana kerajaan yang memerintah tanpa kompromi.
Kerajaan juga perlu kreatif mempromosikan program dan simbol yang menyemarakkan kecintaan kepada negara dan semangat kebangsaan. Di Amerika Syarikat, bald eagle (helang botak) dijadikan simbol negara. Gambar, ikon dan simbol bald eagle ada di mana-mana.
Di Malaysia pula, harimau menjadi unsur dalam jata negara. Justeru, perlu ada inisiatif kreatif mempromosikan harimau sebagai lambang semangat kebangsaan. Paparan visual, pertuturan atau ikon yang mewakili rakyat, nilai, matlamat, kebudayaan serta sejarah perlu diperhebat.
Semua ini akan menerbitkan semangat cinta kepada negara sekali gus keharmonian rakyat. Pakaian sukan dan seragam bahkan dinding sekolah boleh dijadikan medium mempromosi keharmonian. Pakaian seragam pasukan sukan popular juga boleh memainkan peranan yang sama.
Pelajar era 1970-an dan 1980-an rata-rata hafal Prinsip Rukun Negara. Pendengar radio kerap didendangkan dengan lagu patriotik. Stesen TV turut menganjurkan pertandingan nyanyian lagu yang sama.
Kempen sama perlu dilancarkan semula. Stesen radio dan TV kerajaan mahupun swasta mandatori memutarkan lagu dan klip video berkaitan. Ingat, tipis atau lunturnya semangat mencintai negara adalah antara punca keharmonian terhakis hari ini.






Leave a Reply