NARATHIWAT (Selatan Thai): Mahkamah Wilayah Pattani baru-baru ini telah mengeluarkan waran tangkap terhadap lima daripada lapan suspek yang dituduh secara bersama membunuh dengan niat 78 individu dalam Tragedi Tak Bai pada 2004 lalu.

Bagaimanapun, mahkamah tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap tiga yang lain kerana mereka masih berkhidmat dalam kerajaan, dan diberikan saman supaya hadir di mahkamah.

Waran tangkap itu dikeluarkan susulan permohonan Polis Diraja Thailand setelah Peguam Negara memutuskan untuk mendakwa mereka berhubung kematian 78 penunjuk perasaan di Tak Bai hampir 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, setakat ini tidak ada suspek yang ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

Terdahulu, Peguam Negara Thailand memerintahkan pendakwaan dibuat terhadap bekas Komander 5 Divisyen Infantri, Jeneral Chalermchai Wirunphet; Lt Nattawut Lueamsai; Wisanu Lertsongkram; Lt Wisanukorn Chaisarn; Piti Yankaew; Sarjan Major Ratchadet atau Phitak Srisuwan; Lt Kol Prasit Mathin; dan Lt Ritthirong Phromrit atas kesalahan membunuh orang lain secara bersama-sama dan dengan niat.

Daripada lapan suspek kes pembunuhan di luar undang-undang itu, Jeneral Chalermchai adalah defendan pertama, manakala tujuh lagi pegawai dan pemandu yang membawa 78 individu yang meninggal dunia ke Kem Ingkayutthaborihan, Daerah Nong Chik, Pattani.

Peguam Negara memutuskan bahawa walaupun lapan defendan tidak berniat untuk menyebabkan kematian, penyediaan hanya 25 kenderaan untuk mengangkut lebih seribu penunjuk perasaan, bukan kaedah yang sesuai.

Oleh itu, tindakan lapan defendan adalah jenayah membunuh orang lain secara bersama.

Peguam Negara juga telah menghantar laporan dan mengarahkan polis menjejaki lapan suspek terbabit sebelum statut tempoh kes itu tamat pada 25 Oktober ini.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading