
Oleh Ir Mohd Prasad Hanif
Transparency International melancarkan satu kajian dengan melontarkan soalan ini: ”Siapa Yang Rakyat Malaysia Anggap Korup”. Analisis jawapan daripada responden menganggap kebanyakan pegawai erlibat dengan rasuah adalah 57% melibatkan polis, pegawai cukai (48%) dan Ahli Majlis (48%) menerusi lantikan politik.
Bila responden ditanya: “Adakah anda telah merasuah pegawai awam pada tahun lepas?”, seramai 23% menyatakan ‘ya’. Hampir suku responden menyatakan telah memberi rasuah. Yang paling terdedah kepada rasuah adalah sektor awam dan 63.3% aduan melibatkan penjawat awam.
Dapatan dan angka bagi kajian ini sangat serius. Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seramai 2,163 penjawat awam ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah bagi tempoh 2019-2023. Seramai 1,347 penjawat awam (62.2%) ditahan kerana meminta dan menerima sogokan, manakala 463 lagi ditangkap kerana membuat tuntutan palsu.
Kes ini menunjukkan berlaku penyalahgunaan peruntukan projek perkhidmatan awam seperti kesihatan, pendidikan dan infrastruktur. Ketidakcekapan turut dikesan dalam sektor awam sehingga boleh si pelaku mengelak prosedur formal yang mengurangkan kecekapan.
Seterusnya berlaku pertumbuhan ekonomi yang tidak adil serta meruntuhkan kepercayaan terhadap institusi sehingga mengikis keyakinan awam terhadap kerajaan, birokrasi dan institusi lain. Kesan lain adalah peningkatan harga barang dan perkhidmatan gara-gara perniagaan perlu membayar rasuah untuk beroperasi dan kos ini terpaksa dipindahkan kepada pengguna dengan menanggung harga yang lebih tinggi.
Dalam apa jua era dan tahap kemajuan, cabaran rasuah tetap kental dan merosakkan sehingga menjejaskan pembangunan yang lestari, adil, kondusif serta inklusif untuk rakyat. Jaminan yang diharapkan adalah kepimpinan yang memiliki kesungguhan politik untuk mendokong jentera kerajaan membanteras gejala itu. Maknanya kepemimpinan di segenap peringkat bertekad menjuarai integriti termasuk melaksanakan kawalan anti-rasuah dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan secara konsisten tanpa kompromi.
Dalam isu ini, Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan (ADFIM) memberi fokus terhadap integriti dan tatakelola sejak 2020. Kami memainkan peranan penting dalam mempromosikan amalan integriti di Malaysia dengan menjadi katalis kepada pembangunan dan menerajui amalam integriti. Antaranya menganjurkan siri forum dan ceramah secara online serta menganjurkan siri Persidangan Kebangsaan Mengenai Integriti & Tatakelola (NCIG) pada 2022 dan 2023 manakala untuk 2024 pada 9 dan 10 Oktober depan.

Pada masa sama, kesemua 19 ahli ADFIM sudah atau pun dalam proses mendapatkan sijil ISO37000 iaitu Anti-Bribery Management System. Tindakan lain adalah melaksanakan sistem teknologi dengan proses automasi dan jejak audit yang selamat. Dua inisiatif ini bagi membina kepercayaan dan keyakinan pihak berkepentingan termasuk pelanggan terhadap integriti institusi.
Dalam komitmen lain, Exim Bank memastikan semua vendor mempunyai dan memahami Code of Conduct. Agrobank pula melaksanakan Profil Integriti Individu (IIP) bagi pengambilan petugas baru. Di Perbadanan Nasional, Jabatan Integritinya melakukan saringan keutuhan iaitu sistem yang dibangunkan SPRM bagi mengesan jika ada individu yang berurusan dengan entiti itu mempunyai rekod rasuah manakala BSN melaksanakan program kepimpinan berasaskan integriti.
Bagi langkah pencegahan dan penguatkuasaan, ADFIM melihat keberkesanan pelaporan ‘whistleblowing’ yang bersumber dari masyarakat selain proses dan mekanisme yang telus serta perkongsian maklumat bertujuan menghalang perlakuan rasuah. Contoh, Sistem Pengurusan Aduan e-Whistleblowing (WBCMS) adalah platform online yang dibangunkan untuk memberi kemudahan kepada setiap kakitangan BSN melaporkan maklumat atau aduan mengenai salah laku jenayah, rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta pelanggaran tatakelakuan dan etika dalam institusi perbankan itu.
Langkah pencegahan seterusnya adalah melaksanakan automasi untuk mengautomatikkan proses pembelian dan pembayaran yang akan mempercepatkan proses selain menjadikan ia lebih telus dan mengurangkan risiko rasuah. Contoh, permohonan pembiayaan seperti PUNB dan MARA adalah secara online.
Ahli ADFIM turut menggunakan platform ADFIM bagi perkongsian pengalaman berkaitan integriti dan aspek tatakelola yang berjaya.
Sementara itu, kerjasama strategik tiga penjuru antara sektor awam, swasta dan masyarakat dalam memerangi rasuah adalah penting. Kerjasama di peringkat nasional dan merentas sempadan ini. Antaranya mempromosikan kejayaan polisi negara terbaik bagi Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Contoh, sektor awam khususnya jabatan dan agensi penguatkuasaan memainkan peranan utama dalam menggubal undang-undang, melaksanakan polisi anti-rasuah serta menjalankan siasatan dan pendakwaan terhadap kes rasuah, penyalahgunaan kuasa serta perlanggaran tatakelola. Ia lazimnya berkait hal seperti pemberian kontrak, tender dan perlesenan.
Penglibatan masyarakat sivil juga mesti digembleng. Ini termasuk termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan kumpulan advokasi yang perlu mendidik dan membangkitkan kesedaran awam selain menekan kerajaan serta sektor swasta untuk bertindak tegas terhadap rasuah.
Bagi melangkah dan melihat ke arah masa depan, banyak perkara dilakukan kerajaan bagi memperkukuh integriti untuk memastikan pembangunan lestari yang bebas rasuah. Namun hanya kesungguhan politik diperlukan untuk menjawab segala isu dan persoalan berkaitan barah serta kaedah menanganinya.
Penulis adalah Setiausaha Agung ADFIM.







Leave a Reply