KUALA LUMPUR; Sejak penubuhan Iskandar Malaysia pada tahun 2006, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) telah menggerakkan pelbagai inisiatif berkaitan sosial dan alam sekitar ke arah mengukuhkan pembangunan ekonomi di wilayah ini.
Apabila Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) diperkenalkan pada tahun 2012, IRDA telah menyelaraskan program-program berkaitan sosial dan alam sekitar di bawah Rancangan Pembangunan Komprehensifnya (CDP).
Menurut Ketua Eksekutif, IRDA Datuk Dr Badrul Hisham Kassim, “Penyelarasan ini memberi arah tuju kepada pembangunan wilayah ekonomi ini untuk menjadi lebih mampan dan inklusif, sesuai dengan visi menjadi sebuah metropolis bertaraf antarabangsa.

“Dengan fokus utama Iskandar Malaysia adalah untuk menarik dan meningkatkan pelaburan dan ekonomi, kami pastikan usaha ini disokong dan juga memberikan limpahan manfaat kepada rakyat dan alam sekitar.”
Beliau berkata demikian semasa berada di acara Malaysia SDG Summit 2024 di Kuala Lumpur Convention Centre yang berlangsung pada 17 – 18 September anjuran Kementerian Ekonomi.
Malaysia SDG Summit merupakan satu platform untuk pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor untuk berkongsi pengalaman dan pandangan serta usaha-usaha penting dalam merealisasikan matlamat pembangunan mampan.
Program-program pemulihan sosio-ekonomi Iskandar Malaysia telah memanfaatkan lebih daripada 6,000 rakyat Johor melalui aktiviti peningkatan kemahiran semula dan kemahiran lanjutan, latihan dan pemberian geran.
Salah satunya ialah memastikan rakyat dapat mengekalkan pekerjaan atau ditawarkan pekerjaan baharu yang menyokong pelaburan masuk ke Iskandar Malaysia selain menjadi usahawan.
Projek-projek seperti Persimpangan Bertingkat Kempas dan Iskandar Coastal Highway telah berjaya mengurangkan kesesakan trafik dan meningkatkan pelaburan dan pembangunan di kawasan sekitarnya.
Iskandar Puteri, yang dihubungkan dengan pusat bandar Johor Baru melalui Iskandar Coastal Highway, telah merekodkan kemasukan pelaburan sebanyak RM100 bilion setelah siapnya lebuhraya tersebut.
Projek-projek Loji Rawatan Kumbahan Berpusat (CSTP) dan Melanskap Sungai Segget dan Menaiktaraf Jalan Wong Ah Fook telah berjaya meningkatkan kualiti air di sungai tersebut hingga ke tahap Standard A Kelas IIB dan mengelak berlakunya banjir kilat di kawasan sekitarnya.
Projek-projek ini turut merancakkan pembangunan ekonomi melalui peningkatan nilai pelaburan dan Nilai Pembangunan Kasar (GDV), pertumbuhan pusat perniagaan baharu seperti Ibrahim International Business District (IIBD), pembangunan semula projek terbengkalai dan peningkatan pelancongan di bandaraya Johor Baru.
Projek Rumah Iskandar Malaysia (RIM) berjaya menyediakan 1,500 unit apartmentberbentuk sewaan untuk golongan yang baru memulakan pekerjaan di Iskandar Malaysia. Ini bukan sahaja membantu mereka membina kehidupan yang lebih stabil malah menjadi sumber tenaga kerja untuk pelaburan dan perniagaan yang bertapak di Iskandar Malaysia.
Projek Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri, yang bakal siap pada akhir tahun 2025, disasarkan menjadi pusat aktiviti dan pembangunan belia dengan pelbagai kemudahan yang bersesuaian untuk membentuk golongan ini menjadi pemimpin masa hadapan termasuk dalam bidang keusahawanan.
Kerjasama di antara Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor pula akan menyaksikan pelaksanaan program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiaitif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Iskandar Malaysia yang mana peserta- peserta daripada kumpulan B40, miskin dan miskin tegar berpotensi meraih peningkatan pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan dengan penglibatan dalam sektor pertanian.
“Semua projek dan program ini dilaksanakan melalui kerjasama erat dengan pemegang-pemegang taruh daripada sektor awam, di peringkat kerajaan pusat dan negeri, dan swasta serta komuniti setempat untuk memastikan pelaksanaan yang lancar dengan hasil yang efektif,” tambah Dr Badrul Hisham.






Leave a Reply