NARATHIWAT (Selatan Thai): Lonjakan kemasukan pelancong Malaysia ke wilayah Selatan Thai ketika sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 pada 31 Ogos lalu, mampu menjana sehingga 100 juta baht (kira-kira RM12.82 juta) kepada ekonomi tempatan.

Ini berdasarkan seramai lebih 20,000 pelancong dari Malaysia yang memasuki lima wilayah di Selatan Thai bermula 30 Ogos (Jumaat) hingga 2 September lalu.

Difahamkan, lebih 13,000 rakyat Malaysia menyeberangi sempadan ke Thailand dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah-Sadao dan 5,000 lagi memasuki dari ICQS Pengkalan Hulu, Perak-Betong, Yala.

Selain itu, rakyat Malaysia juga memasuki Thailand melalui ICQS di Pengkalan Kubur, Rantau Panjang dan Bukit Bunga di Kelantan; ICQS Durian Burung di Kedah; serta Padang Besar dan Wang Kelian di Perlis.

Sudah menjadi kebiasaan rakyat Malaysia akan menghabiskan cuti panjang dengan melancong ke wilayah Selatan Thai yang merangkumi Pattani; Narathiwat; Yala; Songkhla; dan Satun.

Presiden Persatuan Penggalakan Pelancongan Songkhla, Songchai Mungprasitthichai menganggarkan setiap pelancong Malaysia membelanjakan antara 7,000 dan 8,000 baht, sekali gus menjana kira-kira 100 juta baht untuk ekonomi tempatan.

Bagaimanapun, menurutnya melalui pemerhatian yang dilakukan terdapat penurunan ketara dalam bilangan pelancong secara keseluruhan ketika Hari Merdeka iaitu 10 kali lebih rendah berbanding kira-kira 10 tahun lalu.

Difahamkan, sebahagian besar pelancong Malaysia adalah mereka yang mementingkan bajet dan berbelanja hanya mengikut keperluan serta tidak menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong.

Beberapa acara untuk memperkenalkan Selatan Thai kepada pelancong Malaysia, Indonesia dan Singapura turut dijayakan oleh Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) dengan kerjasama Persatuan Pelancongan Halal Thai-ASEAN.

Sementara itu, Pengarah Pejabat Pelancongan dan Sukan Songkhla, Wilawan Pobunsong, berkata secara umum, jumlah pelancong Malaysia yang memasuki Selatan Thailand ketika cuti umum amat menggalakkan.

Secara keseluruhannya, lebih 20,000 pelawat dari Malaysia telah bercuti di wilayah selatan Thailand pada cuti panjang hujung minggu lepas iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Antara kawasan tumpuan pelancong Malaysia ialah di Hat Yai, Pantai Samila, Bandar Lama Songkhla dan Pasar Terapung Khlong Hae di Wilayah Songkhla.

Media tempatan melaporkan Thailand menerima kedatangan 17.5 juta pelancong asing dan menjana pendapatan kira-kira 825.541 bilion Baht (RM106.22 bilion) bagi separuh pertama tahun ini.

Statistik Kementerian Pelancongan dan Sukan menunjukkan dari Januari hingga Jun tahun ini, pelancong dari China menduduki senarai teratas dengan 3.43 juta, diikuti Malaysia (2.43 juta) dan India (1.04 juta) dalam tempoh yang sama.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading