
SONGKHLA (Thailand): Beberapa peserta Malaysia mengukir nama dalam 10 kategori dipertandingkan pada RSR Runbike Championship Tour Challange, di sini bermula 31 Ogos dan 1 September lalu.
Seramai 40 peserta berusia antara dua tahun dan 12 tahun daripada lapan pasukan Malaysia mengambil bahagian dalam pertandingan Pushbike (basikal tanpa pedal pengayuh) yang diadakan di kawasan lapang berhampiran Pantai Samila di sini.

Antara kelab dari Malaysia yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah M8 Malaysia; KL Rocket Team; ADDA Cycle Team; dan Jebat Rider.
Wakil peserta Malaysia, Hisham Abdul Rashid berkata, semua peserta mewakili kelab Pushbike dari Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Sarawak, Johor dan Kuala Lumpur, turut diiringi ibu bapa dan keluarga masing-masing.

“Terdapat 10 kategori dipertandingkan membabitkan peserta berusia dua hingga 12 tahun. Semua peserta dikenakan yuran masuk RM80 bagi setiap kategori.
“Sebenarnya Pushbike mempunyai komunitinya tersendiri dan kami menyertai kejohanan ini setelah mendapat maklumat dalam komuniti Pushbike.
“Sama juga jika Malaysia menganjurkan kejohanan Pushbike, pasukan dari Thailand akan turut menyertainya,” katanya kepada Apa Khabar TV di Songkhla.










Katanya, peserta Malaysia berjaya mengukir nama dengan memenangi beberapa kategori yang dipertandingkan.
Ini termasuk dua beradik perempuan berusia tujuh dan sembilan yang mempamerkan aksi luar biasa dalam kejohanan itu.
Dalam kejohanan tahunan itu, Daria Nur Aisyah Muhammad Adli, 9 tahun mendapat tempat kedua bagi kategori 7 hingga 12 tahun Super Girl dan tempat keempat bagi kategori 8 hingga 12 tahun (jantina campuran).
Manakala adiknya, Dania Nur Medina, 7, pula merangkul gelaran juara bagi kategori 5 hingga 7 tahun Super Girl.
Kedua-dua mereka yang mewakili KL Rocket Team telah menyertai lebih 100 kejohanan dan itu adalah kali pertama mereka menyertai pertandingan di luar negara.






Leave a Reply