Oleh Azad Jasmi
- Semasa dalam perjalanan kereta api dari Ipoh ke Alor Setar semalam, saya terpanggil untuk menulis tentang sesuatu yang sering kita abaikan dalam kehidupan harian kita: aura dan “vibes“ positif.
- Kadang-kadang, kita tidak sedar betapa pentingnya tenaga yang kita bawa dan sebarkan, sama ada di tempat kerja atau di rumah.
- Aura positif bukan sahaja membantu kita menjalani hari dengan lebih baik, tetapi ia juga memberi impak kepada orang di sekeliling kita. Ada beberapa kajian yang saya baca dari buku-buku berkaitan elemen aura ini menunjukkan bahawa tenaga yang kita bawa, kita rasa dan kita sebarkan ini boleh mempengaruhi suasana sekeliling kita.
- Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh Journal of Personality and Social Psychology, didapati bahawa emosi positif boleh menyebar seperti gelombang dan mempengaruhi persekitaran sosial kita, sama ada kita sedar atau tidak. Ini bermakna, jika kita membawa aura yang baik, kita boleh mengubah mood, semangat, dan keseluruhan dinamik dalam sebuah bilik.
- Pentingnya aura positif di tempat kerja jelas terasa. Dalam persekitaran kerja yang sentiasa sibuk, tekanan dan cabaran adalah perkara biasa.

Tetapi, jika kita mampu mengekalkan “vibes” positif, kita bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti, malah kita juga boleh menjadikan tempat kerja lebih harmoni.
Kajian oleh Harvard Business Review menunjukkan bahawa pekerja yang mempunyai aura positif lebih cenderung untuk berjaya dalam kerjaya mereka, kerana mereka cenderung untuk menarik sokongan daripada rakan sekerja dan pihak atasan.
- Perkara yang sama juga akan berlaku di rumah kita. Apabila kita pulang selepas hari bekerja, aura kita masih boleh mempengaruhi keluarga. Tenaga yang kita bawa ke rumah akan menetapkan suasana, sama ada ia akan menjadi malam yang tenang atau penuh tekanan. Oleh itu, penting untuk kita belajar cara untuk menjaga dan memperbaiki aura kita.
- Saya cuba kongsilan sedikit dengan ilmu yang Allah pinjamkan pada saya tatacara untuk membawa aura positif dalam kehidupan seharian. Saya akan berikan 5 cara iaitu:
i. Mulakan Hari dengan Bersyukur
Sebelum memulakan hari, luangkan masa beberapa minit untuk bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan pada kita. Sikap bersyukur boleh meningkatkan mood dan menyediakan minda kita untuk menghadapi cabaran harian dengan lebih positif.
ii. Jaga Pemikiran dan Emosi
Apa yang kita fikir dan rasakan akan dapat berikan kesan kepada aura kita. Cubalah latih diri untuk fokus kepada pemikiran yang positif dan elakkan daripada terperangkap dalam pemikiran yang negatif. Apabila kita berada dalam emosi yang stabil dan positif, kita akan memancarkan tenaga yang baik.
iii. Berinteraksi dengan Positif
Setiap kali kita berinteraksi dengan orang lain, pastikan kita membawa semangat yang baik. Ucapan yang lembut, senyuman, dan sikap yang terbuka boleh mempengaruhi hubungan dengan orang di sekeliling kita.
iv. Berhati-hati dengan Inner Circle Kita atau Lingkungan Sosial
Lingkungan sosial kita boleh mempengaruhi aura kita. Pilih untuk berada dalam lingkungan yang membawa kegembiraan dan sokongan, bukan yang membawa tekanan atau negatif.
Ini akan membantu kita mengekalkan vibes positif. Jika ada lingkungan yang sering “complain”, merungut, cerita keburukan orang, cerita keburukan hal itu dan hal ini, maka jauhilah mereka.
v. Refleksi Diri
Kadang-kadang kita terlampau sibuk sehingga lupa untuk reflek. Saya cadangkan untuk kita gunakan masa untuk reflek dalam 2-3 minit selepas solat; yakni masa berdoa. Sekejap saja.
Berikan diri masa untuk rehat minda, ambil nafas panjang, dan kosongkan minda daripada sebarang tekanan. Ini akan membantu mengekalkan keseimbangan dalaman dan aura positif kita.

Seterusnya, saya ingin nyatakan 5 “outcome” dan elemen yang boleh kita pelajari dari perkongsian kecil saya ini.
a. Aura positif mempunyai kuasa besar untuk mengubah suasana dan mood di sekeliling kita.
b. Pemikiran dan emosi positif adalah penting untuk mengekalkan tenaga yang baik dalam diri kita.
c. Lingkungan sosial yang positif dapat membantu kita mengekalkan keseimbangan emosi dan aura yang baik.
d. Refleksi dan Rehat Minda serta menjaga kesihatan mental adalah penting untuk mengekalkan vibes positif dalam kehidupan seharian.
e. Melatih sikap bersyukur setiap hari boleh memberi impak besar terhadap mood dan aura kita.
Kesimpulannya, dalam Islam sendiri, terdapat banyak penekanan terhadap pentingnya menyebarkan kebaikan dan mempunyai aura positif. Rasulullah SAW bersabda,
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (HR. Ahmad).
Hadis ini menunjukkan bahawa menyebarkan aura positif dan manfaat kepada orang lain adalah satu bentuk kebaikan yang dianjurkan dalam agama.
Selain itu, Rasulullah SAW juga mengajar kita untuk sentiasa bersikap baik dan menyebarkan senyuman. Baginda bersabda, “Senyumanmu kepada saudaramu adalah sedekah.” (HR. Tirmidzi).
Ini menguatkan lagi hakikat bahawa aura positif, walaupun dalam bentuk yang kecil seperti senyuman, mempunyai kesan yang besar dalam hubungan sosial dan kehidupan harian kita.
Segala yang baik dan bermanfaat daripada artikel ini datang daripada ilmu Allah, manakala segala keburukan dan kelemahan adalah daripada saya sendiri.







Leave a Reply