TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bekerjasama dengan Huawei Technologies (M) Sdn Bhd bagi melaksanakan program latihan dan pensijilan profesional kepada staf dan pelajar.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata kerjasamana ini membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui jalinan kerjasama pihak industri dan pada masa yang sama meningkatkan kompetensi staf teknikal di UPSI.

Menurutnya, program ini juga dapat memupuk bakat ICT dan membantu pelajar lebih bersedia untuk menghadapi dunia pekerjaan dan pada masa yang sama dapat membantu mencipta penghubung antara pendidikan akademik dan industri.

Antara peserta yang mengikuti program latihan dan pensijilan profesional Huawei Cloud Certified Developer Associate (HCCDA).

Sementara itu, Ketua Pegawai Digital, Ts Dr Megat Azrin Ahmad berkata, pelaksanaan program ini selaras dengan inisiatif MyDIGITAL menerusi dua teras strategik iaitu membina bakat digital yang tangkas dan kompeten dan mewujudkan masyarakat digital yang inklusif.

Katanya, sebagai permulaan seramai 15 staf dan pensyarah serta 87 orang pelajar daripada Fakulti Komputeran & Meta Teknologi (META) diberi latihan bagi pensijilan Huawei Cloud Certified Developer Associate (HCCDA).

Program ini, katanya, akan diadakan secara berterusan dalam usaha membangunkan bakat ICT tempatan serta menggalakkan pembangunan serantau dan penyertaan dalam komuniti digital.

Ketua Sektor Awam Huawei, Perniagaan Awan Malaysia, Ismanita Ismail pula berkata, pihaknya berbangga kerana dapat bersama-sama dengan UPSI dalam menyediakan pendidikan kepada generasi semasa dan membolehkan mereka menjadi lebih bersedia bagi pembangunan ICT.

Menurutnya, Huawei komited untuk menyediakan sistem pembangunan bakat dan piawaian pensijilan, membangunkan profesional ICT baharu dalam era digital dan membina ekosistem bakat ICT.

“Program yang dilaksanakan ini merupakan sebahagian daripada pensijilan pengkomputeran awan yang terdapat di Huawei, ” katanya.

Dalam tempoh tiga tahun, katanya, Huawei berharap dapat menyasarkan lebih ramai pelajar IPTA dan kakitangan sektor awam yang akan menerima manfaat daripada program latihan pensijilan Huawei.

Program latihan dan pembangunan bakat ini bukan sahaja memenuhi tuntutan industri semasa tetapi meningkatkan potensi diri staf dan pelajar serta menyemai kemahiran baharu.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading