Parlimen Thailand hari ini (Jumaat, 16 Ogos 2024) memilih pemimpin Pheu Thai Party, Paetongtarn ‘Ung Ing’ Shinawatra, sebagai Perdana Menteri (PM) ke 31 negara itu, setelah Mahkamah Perlembagaan pada Rabu, menyingkirkan Srettha Thavisin sebagai PM.

Paetongtarn – anak jutawan Thailand yang juga bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra – memperoleh 319 undi, 145 undi menentang dan 27 berkecuali.

Setiausaha Agung Pheu Thai, Sorawong Thiengthong mencadangkan Paetongtarn sebagai calon PM setelah Presiden Parlimen, Wan Muhamad Noor Matha, memulakan sidang pada jam 10 pagi tadi.

Seramai 291 Ahli Parlimen menyokong cadangan itu. Parlimen Thailand mempunyai 500 ahli dengan 315 adalah di pihak kerajaan, 179 pembangkang, manakala enam kerusi masih kosong.

Kerajaan Thailand dibentuk menerusi gabungan 11 parti iaitu Pheu Thai dengan 141 kerusi; Bhumjaithai (71); Palang Pracharat (40); United Thai Nation (36); Chart Thai Pattana (10); Prachachart (9); Chart Pattana (3); Thai Ruam Palang (2); dan masing-masing satu kerusi Thai Liberal, New Social Power, dan Thai Counties.

Paetongtarn, 37 tahun, yang memperoleh cukup sokongan bakal menjadi PM termuda pernah mentadbir kerajaan. Pelantikannya berikutan rundingan 24 jam antara parti pemerintah setelah Srettha – yang juga daripada Pheu Thai Party – disingkirkan.

Rabu lalu, Mahkamah Perlembagaan mendapati Srettha bersalah melanggar etika kerana melantik bekas banduan, Pichit Chuenban sebagai menteri Kabinet. Keputusan itu menyebabkan Srettha dipecat selepas kurang setahun memegang jawatan PM.

Srettha, seorang taikun hartanah, memimpin negara itu kurang daripada satu tahun, dan merupakan PM Thailand keempat dalam tempoh 16 tahun yang disingkirkan oleh penghakiman Mahkamah Perlembagaan.

Paetongtarn adalah anak bongsu daripada tiga beradik dalam keluarga Thaksin. Bapanya telah digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006, tetapi kekal sangat berpengaruh dalam politik Thailand.

Paetongtarn adalah individu keempat dalam keluarga Shinawatra yang menjadi PM. Adik ipar Thaksin, Somchai Wongsawat, menjadi PM pada 2008, manakala adik Taksin, Yingluck pula adalah PM Thailand dari 2011 hingga 2014. Kedua-dua Somchai dan Yingluck dipaksa meletak jawatan susulan keputusan mahkamah.

Paetongtarn juga adalah wanita kedua yang dipilih memimpin Thailand, selepas Yingluck. Beliau hanya perlu memperoleh 247 undi untuk disahkan sebagai PM baharu.

Thaksin kembali ke Thailand tahun lepas, menamatkan tempoh 15 tahun dalam buangan, selepas membuat perjanjian yang tidak mungkin dengan bekas musuhnya dalam penubuhan tentera diraja – satu isu kontroversi yang dianggap sebagai pengkhianatan oleh ramai pengundi.

Minggu lalu, mahkamah juga membubarkan Move Forward Party – Parti orang muda yang popular dan meraih undi terbanyak selepas menjanjikan pembaharuan untuk menjadikan Thailand lebih demokratik.

Mengulas isu politik di Thailand, Felo Pelawat di Institut ISEAS-Yusof Ishak, Singapura, Napon Jatusripitak berkata dalam tempoh seminggu sahaja mahkamah telah melucutkan hak lebih 14 juta pengundi.

“Ia adalah satu rampasa kuasa oleh badan kehakiman apabila membubarkan sebuah parti politik dan memecat seorang Perdana Meneri,” katanya.

Mengulas pemilihannya sebagai PM baharu, Paetongtarn berkata dia menghormati Srettha dan menganggap apa yang berlaku ke atasnya adalah malang, tetapi menambah: “Negara mesti terus maju.”

“Saya mempunyai keyakinan terhadap Pheu Thai. Saya yakin dengan semua parti gabungan kerajaan untuk membawa negara kita keluar daripada krisis ekonomi,” katanya.

Paetongtarn memainkan peranan penting dalam kempen pilihan raya Pheu Thai, kerana parti itu berusaha untuk memanfaatkan populariti nama keluarganya dalam kalangan pengundi luar bandar terutama di utara dan timur laut.

Beliau berkempen ketika hamil, namun parti itu menduduki tempat kedua dalam pilihan raya dan dia kemudian menarik diri daripada dicalonkan sebagai PM ke-30 Thailand.

Dengan keputusan hari ini, Paetongtarn akan segera berdepan cabaran dalam pelbagai bidang, dengan keadaan ekonomi Thailand yang meruncing, persaingan daripada parti lain yang semakin meningkat, dan populariti Pheu Thai yang semakin berkurangan, yang masih belum melaksanakan program pemberian tunai perdana bernilai 500 bilion baht (RM63.3 bilion).

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading