TANJONG MALIM: Sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Behrang 2020, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut meraikan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk murid empowerNCER Akademik 2023.
Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Daerah Tanjong Malim, Mairoszalifah Ismail itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada murid yang telah mencapai kejayaan akademik selain menjadi platform untuk menginspirasi murid lain untuk berusaha lebih keras dalam akademik dan pembangunan diri.
Pengetua SMKBB2020, Rafidah Mohd Ghazali berkata program empowerNCER Akademik 2023 sangat membantu dan berjaya melahirkan murid yang mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun 2023.
Justeru, katanya, bagi menghargai pencapaian cemerlang murid, Majlis Hari Anugerah dianjurkan secara bersama 31 buah sekolah daripada sembilan daerah di Perak.
Beliau berkata, program empowerNCER Akademik adalah anjuran NCIA bertujuan memberikan pendidikan holistik kepada murid daripada keluarga B40 dengan prestasi akademik yang lemah.
Program empowerNCER Akademik di Perak dianjurkan dengan kerjasama UPSI dan turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Kerjasama antara pelbagai pihak ini memastikan program dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai matlamat yang diinginkan.
Objektif utama program ini, katanya, adalah untuk membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam akademik dan pada masa yang sama membangunkan kemahiran diri. Inisiatif ini dapat mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dan adil dalam akses pendidikan, di mana setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang yang sama untuk mencapai kejayaan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Murid dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata program empowerNCER Akademik telah berhasil mencapai matlamat untuk memberikan akses sama rata terhadap pendidikan berkualiti kepada golongan yang memerlukan.




Sementara itu Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata pencapaian cemerlang murid program empowerNCER Akademik di Perak akan mendorong mereka untuk berjaya pada masa hadapan sekali gus berpotensi meningkatkan taraf kehidupan diri dan keluarga yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan B40.
“SMK Bawong, yang majoritinya terdiri daripada murid Orang Asli, telah mencatatkan pencapaian yang membanggakan dengan kadar lulus SPM sebanyak 100 peratus.
“Kejayaan ini tidak hanya mencerminkan komitmen yang tinggi dari pihak sekolah dan guru-guru dalam memberikan pendidikan berkualiti, tetapi juga menunjukkan potensi yang besar dalam kalangan murid-murid dari komuniti Orang Asli untuk mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.
Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun, Muhammad Norman Hidayat Ahmad Zaki yang memperoleh 10A dalam peperiksaan SPM 2023.
Menurutnya, bantuan penyediaan kelas tambahan percuma daripada program empowerNCER Akademik banyak membantu dirinya meningkatkan kefahaman selain berpeluang mengulangkaji subjek-subjek tertentu dengan bantuan guru semasa kelas tambahan yang dijalankan.
Pelajar Orang Asli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Slim, Sabrina A/P Bah Juhamat yang memperoleh 5A dalam SPM 2023 berkata latar keluarga yang kurang berkemampuan mendorong dirinya belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang demi masa depan keluarga.
“Oleh itu, saya bersyukur terpilih untuk mengikut empowerNCER Akademik yang telah banyak membantu saya dalam pelbagai aspek dalam pelajaran,” kata Sabrina.
Murid cemerlang dari Sekolah Bandar Behrang 2020, Hana Humairah Hasnan juga meluahkan rasa syukur kerana dipilih bagi program empowerNCER Akademik.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini sehingga mencapai keputusan cemerlang peperiksaan SPM selain bermanfaat kepada lebih ramai pelajar B40 pada masa akan datang,” katanya.




Leave a Reply