Oleh Wartawan Apa Khabar TV

Forum “Ekspolari Bahasa dan Linguistik Korpus” yang berlangsung pada 23 Julai 2024 lalu antara segmen dalam Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Korpus 2024 yang menarik berikutan membincangkan isu pemuliharan dialek dan bahasa etnik.

Forum anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan idris (UPSI) itu membabitkan tiga ahli panel, iaitu Naib Canselor Universiti Perdana, Prof Datuk Dr Imran Ho; Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Darul Ridzuan, Dr Maisarah Ahmad, serta Ketua Jabatan Peristilahan dan Leksikologi, Dewan Bahasa dan Pustaka, Fadzly Tajuwid.

Ia yang dpengerusikan oleh Ketua SIG Linguistik Korpus Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Dr Norliza Jamaluddin.

Dalam forum itu Prof Imran Ho membangkitkan soal usaha untuk menjadikan bahasa etnik dan dialek sebagai data perbahanan dalam linguistik korpus.

“Ia amat penting bagi mengelak kepupusan bahasa ini kerana selama ini hanya bahasa dominan sahaja yang dijadikan data bahasa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat cabaran yang besar dalam menghimpunkan data bahasa ini disebabkan data-data ini kebanyakannya dalam bentuk lisan dan amat sedikit atau hampir tiada bagi dialek atau bahasa tertentu dalam bentuk tulisan.

“Justeru, saya berpandangan bahawa kajian dialek dan bahasa etnik menerusi linguistik korpus perlu dirancakkan lagi bagi membolehkan keunikan bahasa ini diketengahkan,” katanya.

Dr Maisarah yang turut menyokong, berpendapat bahawa bahasa adalah warisan penting bagi sesebuah bangsa atau kaum.

“Bahkan bahasa merupakan lambang tamadun sesuatu bangsa yang perlu dipelihara dan perlu diketengahkan terutamanya dalam era globalisasi ini.”

Oleh itu, katanya, pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan oleh Institut Darul Ridzuan dalam memperkaya dan memperkukuh bahasa etnik dan dialek khususnya di Perak.

Beliau berkata Perak yang terdiri daripada 12 daerah dengan 92 buah mukim sudah pasti menjadi sebuah negeri yang kaya dengan dialek dan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, menerusi Ekonomi Pengalaman, iaitu di bawah Program Semarak Warisan, dialek Perak diangkat dan dijadikan produk pelancongan yang diketengahkan selain makanan, pakaian dan hasil seni.

“Usaha memulihara bahasa etnik dan dialek ini bukan usaha pihak tertentu sahaja tetapi usaha secara “gerakan sekampung” iaitu gandingan bersama antara kerajaan negeri, ahli akademik dan industri.

Tambahnya lagi, ahli akademik perlu menjalankan kajian dan mendokumentasikan dialek serta bahasa etnik atas dokongan kerajaan negeri, sementara pihak industri harus berganding bahu mendanai kajian-kajian ini.

“Ini kerana dialek dan Bahasa etnik adalah harta warisan yang penting dipelihara dan akhirnya dapat diperkenalkan kepada pelancong asing yang secara tidak langsung dapat membangunkan sosio ekonomi negari dan negara.

Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak iklan menggunakan dialek atau bahasa etnik, di samping lagu dan filem-filem tertentu.

Mewakili DBP, Fadzly berkata menerusi penyusunan kamus misalnya Kamus Dewan Perdana, 10 000 daripada 120 000 entri yang dimuatkan dalam kamus ini terdiri daripada dialek dan kata sukuan.

“Memastikan dialek dan bahasa etnik ini terus dipelihara, DBP menerbitkan glosari dialek Melayu antaranya dialek Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Melaka,” katanya.

Pada masa sama, katanya, daftar kata bahasa sukuan seperti Kamus Melayu Sarawak, Kamus Iban turut disusun agar bahasa ini dapat didokumenkan, malah DBP turut mengutip dialek dan dijadikan data korpus untuk kajian linguistik korpus.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading