
Pencapaian terpuji dua pasangan utama beregu badminton negara – Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah – mara ke separuh akhir, semalam pantas mengingatkan kita kepada memori Sukan Olimpik 2016.
Saat bangga itu bagai menjelma semula kerana mereka kini hanya selangkah untuk menyamai rekod berkenaan gah layak ke final, tambahan Pearly-Thinaah mencipta sejarah muncul pasangan wanita pertama mara ke kelompok empat teratas buat julung kali dalam temasya berkenaan di Paris.
Satu lagi wakil dijangka layak ke separuh akhir mengiringi mereka tetapi Lee Zii Jia terlebih dahulu harus melepasi rintangan suku akhir acara perseorangan lelaki ketika dicengkam cabaran berdepan pemain No.3 dunia, Anders Antonsen, malam ini (Jumaat).
Kita semua mengharapkan ‘Semangat Rio’ akan kembali dan juga minta episod itu akan menjadi lebih bermakna kali ini – membutirkan pingat emas pertama negara.
Pada 20 Ogos 2016, tiga wakil negara kita gah layak ke final di Brazil tapi keringat mereka itu belum cukup untuk membantu kontinjen negara menuai emas yang sudah lama kita kempunan.
Datuk Lee Chong Wei dipalit duka buat kali ketiga di temasya Olimpik apabila memenangi pingat perak buat kali ketiga berturut-turut selepas edisi 2008 di Beijing, China dan 2012 di London. Dia tewas kepada pemain China, Cheng Long di final.
Begitu juga derita ditanggung pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong apabila tumpas kepada Fu Haifeng-Zhang Nan juga dari China dalam final. Nasib sama digalas beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang kecundang pada halangan terakhir kepada pasangan dari Indonesia, Ahmad Tontowi-Liliyana Natsir.
Di Paris, hajat melihat satu lagi wakil kita mengiringi Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah tidak kesampaian apabila pasangan beregu campuran No.9 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terkandas di saingan pada peringkat lapan terakhir, awal pagi Khamis.
Mereka tewas kepada pasangan beregu No.8 dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun yang diiringi linangan air mata tanda kecewa. Namun, mereka tidak harus terasa sedih kerana memberikan persembahan terbaik dalam penampilan sulung mereka.

Pasangan ini masih kekal sebagai prospek pingat negara untuk Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.
Hari ini (Jumaat), tumpuan pasti akan terarah kepada kelibat Aaron-Wooi Yik yang bakal berdepan pasangan No.1 dunia dari China, Liang Wew Keng-Wang Chang dalam apa yang disebut misi membalas dendam.
Dalam perlawanan peringkat Kumpulan A, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 di Tokyo itu tewas kepada lawan tersohor itu tapi tetap memberikan satu cabaran sengit sebelum tunduk dan muncul naib juara kumpulan.
Tidak dinafikan Aaron-Wooi Yik kini sudah mendapatkan sentuhan dan keyakinan baru selepas menewaskan pemenang pingat emas Sukan Asia, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 13-21, 21-14, 21-16 dalam saingan suku akhir yang berlarutan lebih sejam.
Juara Kejohanan Dunia 2022 itu juga berkata mendapat motivasi daripada kemenangan Pearly-Thinaah sebelum melangkah masuk ke gelanggang, semalam.
“Kami bangga dengan kemenangan Pearly-Thinaah. Kemenangan mereka menyuntik satu motivasi kepada kami untuk cuba mengatasi lawan dari India.
“Mereka juga memberikan kata-kata semangat sebelum kami memulakan perlawanan walaupun kami agak gementar pada awalnya selepas kerap kalah kepada Rankireddy-Chirag.
“Saya dan Aaron mahu terus memberi focus dan kekal dalam saingan di kejohanan ini,” kata Wooi Sik kepada portal rasmi BWF.
Pasangan yang akan menentang lawan dari China itu juga percaya, selagi mereka dapat memberi fokus kepada pertarungan itu mereka pasti akan mendapat satu keputusan positif.
Pearly-Thinaah bakal berdepan pasangan No.1 dunia dari China, Chen Qing Chen- Jia Yi Fan yang terdahulu merakamkan kemenangan mudah 21-5, 21-8 ke atas pasangan Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoev dalam satu lagi saingan suku akhir.
“Kami hadir ke Olimpik dengan satu mentaliti untuk tampil dan memberikan persembahan terbaik pada setiap halangan. Apabila kami bertemu Qing Chen-Yi Fan kami akan tetap menyambung momentum baik pada hari ini dan akan berusaha mengutip setiap mata tanpa apa-apa rasa kesal,” kata Pearly.
Pada ketika ini semangat dan corak permainan kedua-dua pasangan beregu lelaki dan wanita kita amat mengagumkan dengan daya melawan yang cukup tinggi. Tambahan juga memiliki variasi permainan yang boleh memerangkap lawan.
Apa yang pasti Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah sudah ada senjata sendiri dan nampak lebih cerdik kebelakangan ini menguasai permainan.
Pada hari terbaik, mereka pasti menjadi halangan cukup liat kepada pihak lawan. Harap segala kerahan tenaga, inspirasi dan strategi mereka akan membutirkan hasil bermakna hari ini.
Majulah sukan untuk negara!






Leave a Reply