‘Op Ban Khlong Chang’ – operasi pengepungan oleh tentera Thailand di Mukim Na Ket, Daerah Khok Pho, Wilayah Pattani di Selatan Thai, bagi menangkap anggota kumpulan bersenjata – kini masuk hari ke enam.

Beberapa pertempuran dan letupan bom dilaporkan berlaku, namun anggota tentera dari Dividyen Empat Selatan Thai, termasuk komando, masih gagal menawan dan menangkap anggota kumpulan bersenjata terbabit.

Dalam usaha memburu dan menangkap sekurang-kurangnya tiga anggota kumpulan bersenjata yang didakwa melibatkan sayap bersenjata Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), seorang askar Thai terbunuh, manakala dua lagi cedera parah.

Bagaimanapun, sehingga kini BRN tidak mengeluarkan kenyataan sama ada kumpulan terbabit adalah anggota sayap bersenjatanya atau bukan.

Gerakan memburu kumpulan itu bermula pada 26 Julai lalu, manakala pengepungan sepenuhnya bermula pada jam 4 pagi 27 Julai di satu kawasan hutan Ban Khlong Chang, yang turut ditanam getah.

Pada jam 7 pagi ketika arahan menyerah diri dikeluarkan, kumpulan bersenjata terbabit melempar bom tangan dan melepaskan tembakan ke arah anggota tentera., menyebabkan tiga anggota tentera cedera parah.

Dalam tempoh pengepungan hingga ke hari ini (1 Ogos 2024), tentera Thailand menggunakan pelbagai peralatan moden bagi mengesan pergerakan anggota kumpulan bersenjata itu.

Tentera Thailand juga membawa pelbagai jentera berat untuk membersihkan hutan di kawasan terbabit, bagi memudahkan mereka melakukan operasi memperketatkan pengepungan.

Laporan menyebut anggota kumpulan bersenjata masih memberi tentangan dengan sesekali melepaskan tembakan dan melempar bom buatan sendiri ke arah anggota tentera.

Jurucakap Pusat Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), Kolonel Ekkawat Chobchuphon dipetik sebagai berkata pihak berkuasa berusaha memperketatkan kawalan di sekitar kawasan hutan tebal di ladang getah itu bagi mengesan kumpulan bersenjata berkenaan.

Menurutnya, usaha mengadakan rundingan supaya kumpulan itu meletakkan senjata dan menyerah diri dilakukan secara berterusan.

Tengah hari semalam, ketika pihak berkuasa mengetatkan kawalan dan bergerak menggunakan jengkaut untuk membersihkan hutan di ladang getah berkenaan, mereka mengesan dua anggota kumpulan terbabit di kawasan itu.

Anggota kumpulan berkenaan melempar bom buatan sendiri dan melepaskan tembakan ke arah tentera. Tembak menembak tercetus namun tiada kecederaan dilaporkan.

Sejak pertempuran meletus, pihak berkuasa menutup kawasan terbabit daripada semua aktiviti oleh penduduk kampung, termasuk memotong getah.

Kelmarin, pihak berkuasa Thai menemukan dua tempat perlindungan sementara kumpulan terbabit.

Pasukan Pelupusan Ordnance Letupan (EOD) dan Unit Anjing Pasukan Khas Anonthai telah dihantar untuk memeriksa kawasan itu, kerana terdapat kebimbangan bahawa bom mungkin telah ditanam di dua pusat perlindungan sementara yang ditemui.

Pasukan tentera Thai juga menemui beg plastik dengan huruf Inggeris yang menyerupai logo USAID (United States Agency for International Development).

USAID adaah sebuah agensi bebas Kerajaan Amerika Syarikat yang bertanggungjawab menyediakan sokongan antarabangsa, bantuan awam dan pembangunan.

Ini menyebabkan ramai tertanya-tanya mengapa beg itu ditemui bercampur dengan barang-barang di pusat perlindungan kumpulan bersenjata itu.

Untuk rekod, pada Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Bersama kali Ke-10 Kumpulan Kerja Bersama Proses Dialog Damai (JWG-PDP) Wilayah Sempadan Selatan Thailand dengan Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai (PEDP/RTG), di Kuala Lumpur pada 19 Mei hingga 21 Mei lalu, BRN dikatakan bersetuju mengurang dan memberhentikan sementara kekerasan.

“Dalam rundingan yang kesepuluh ini ada kemajuan yang berkaitan dengan pengurangan ataupun pemberhentian kekerasan sementara.

“Itu kita belum putuskan lagi pemberhentian sementara itu sama ada sebulan ataupun dua bulan ataupun tiga bulan dan juga… cuma kita dapat gambarkan bahawa dalam pemberhentian (kekerasan) kita ini mempunyai tiga tahap,” kata Jurucakap Jabatan Teknikal BRN, Ustaz Khalid Abdullah.

One response to “Hari Ke-6: Tentera masih minta kumpulan bersenjata terkepung di Selatan Thai serah diri”

  1. […] Antara barangan yang ditemukan daripada anggota kumpulan bersenjata yang ditembak mati di Mukim Na Ket, Daerah Khok Pho, Wilayah Pattani, hari ini (1 Ogos 2024). Hari Ke-6: Tentera masih minta kumpulan bersenjata terkepung di Selatan Thai serah diri […]

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading