Oleh Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi dan Aidatul Azfaniza Aspanizam

PASIR GUDANG: Kejohanan sukan dan olahraga yang dianjurkan di sekolah adalah salah satu ruang bagi mencungkil bakat atlet baharu dalam kalangan pelajar sekolah untuk membawa mereka bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Pengetua SMK Kota Masai, Saridah Abdul Majid berkata, kejohanan olahraga sekolah menjadi acara tahunan yang penting bagi memberi ruang kepada guru untuk melihat potensi dan bakat pelajar sekali gus meningkatkan daya saing sesama warga sekolah untuk memberikan yang terbaik dalam setiap aspek dan bidang.

“Aktiviti ini bukan sahaja mampu melahirkan atlet yang hebat, tetapi ia juga dapat meningkatkan daya saing sesama warga sekolah untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam menggilap potensi murid ke arah kecemerlangan yang lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, kejohanan ini merupakan acara yang sangat dinantikan oleh para pelajar untuk mereka tampil unggul dalam acara sukan yang disertai dan juga pastinya kemeriahan yang dirasakan sepanjang kejohanan berlangsung.

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Herman Irwadi Ismail menzahirkan rasa senang apabila melihat semangat yang ditunjukkan oleh kontinjen perbarisan rumah sukan, badan beruniform dan barisan atlet dalam memberikan yang terbaik dalam acara yang disertai.

“Pastinya kita ingin melihat atlet di SMK Kota Masai dapat mewakili negeri dan negara dalam kejohanan olahraga di peringkat yang lebih tinggi,” katanya merasmikan Kejohanan Olahraga SMK Kota Masai kali ke-20 yang berlangsung baru-baru ini.

Sementara itu, Penolong Kanan Kokurikulum, Yatiman Kamsidin berkata, kejohanan kali ini membabitkan enam pasukan rumah sukan yang bertanding dan turut melibatkan 300 orang murid dari sembilan kontinjen badan beruniform dalam acara perbarisan.

“Acara sukan yang dipertandingkan termasuk olahraga balapan, lempar peluru, rejam lembing, lompat jauh, pertandingan sorak dan hiasan khemah kreatif serta lain-lain lagi”.

“Terima kasih diucapkan kepada semua barisan pendidik dan warga sekolah diatas komitmen yang diberikan dalam menjayakan kejohanan olahraga dengan sempurna,” ujarnya.

Terdahulu, rumah sukan biru yang membawa tema stesen minyak petron dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan pungutan mata keseluruhan 1,139 yang mengumpulkan sebanyak 14 pingat emas, 11 pingat perak dan 17 pingat gangsa serta memenangi anugerah pasukan sorak terbaik dalam kejohanan.

Muhammad Nur Amin Haikal Rafael dan Sayvetaarshini A/P Kalyanasundram masing-masing telah dinobatkan sebagai olahragawan dan olahragawati kejohanan manakala Muhammad Naufal Mohammad dan Nur Abidah Muhammad Farid dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati harapan yang menjadi prospek masa depan olahraga sekolah.

Selain itu, kejohanan olahraga kali ini digemparkan lagi dengan pemecah rekod terbanyak sepanjang kejohanan olahraga sekolah dianjurkan. Pecahan rekod melibatkan seramai 16 atlet dalam tujuh acara yang dipertandingkan.

Tidak hanya itu, barisan pendidik SMK Kota Masai juga bertanding dalam meraih podium.

Bagi acara lontar peluru dimenangi oleh Siti Hajar Ghuzalli. Manakala acara 2×50 meter dimenangi oleh pasangan sensasi, Muhammad Ikmal Othaman dan Mohd Nur Faiz Othman.

Acara Perbarisan Lintas Hormat dan pertandingan perbarisan pula dimenangi oleh pasukan rumah Indigo dan badan beruniform St. John. Pertandingan hiasan khemah kreatif dimenangi oleh rumah sukan kuning dengan bertemakan Stesen Minyak Shell.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading