Pertukaran mengejut Fasilitator Kerajaan Malaysia yang baharu bagi Proses Dialog Damai Selatan Thai dikatakan ada kaitan dengan dua peristiwa yang berlaku sejak April hingga Jun lalu, lapor media Thailand.

Pertukaran fasilitator itu dikatakan ada kaitan dengan serangan bom kereta di flat Balai Polis Bannang Sata, Yala, pada 30 Jun lalu dan merupakan kejadian ketika proses rundingan damai sedang berjalan.

Dalam kejadian itu, seorang guru Tadika terbunuh manakala lebih 34 yang lain, kebanyakannya anggota polis dan keluarga mereka cedera, apabila bom seberat 80 kilogram dipasang pada sebuah kereta milik kerajaan dan diletakkan di hadapan flat berkenaan, diletupkan kira-kira jam 10.10 pagi.

Pakar keselamatan menafikan kaitan peristiwa itu, tetapi, penduduk Selatan Thai percaya serangan itu adalah isyarat kepada ‘kelemahan’ fasilitator untuk menangani dan mempercepatkan proses perdamaian yang telah memakan masa bertahun-tahun.

Satu lagi peristiwa penting dikaitkan dengan pertukaran fasilitator Malaysia ialah pertemuan tidak rasmi antara bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Phuket pada akhir April dan awal Mei lalu, lapor Southern News Center.

Media itu memetik kenyataan seorang pakar keselamatan yang tidak dinamakan sebagai berkata, sumber risikan percaya pertukaran fasilitator tidak kaitan dengan pengeboman kereta, sebaliknya kejadian itu kemungkinan besar adalah tindak balas kepada pasukan keselamatan yang menahan sekumpulan suspek bersenjata di daerah Bannang Sata.

Tetapi, Southern News Center melaporkan pertukaran fasilitator itu mungkin ada kaitan dengan pertemuan Thaksin dan Anwar.

Sumber itu juga menyatakan bahawa fasilitator baharu Malaysia mempunyai pengalaman diplomatik yang luas dan, yang lebih penting, telah menangani isu di Mindanao, Filipina.

“Ia adalah sesuatu yang perlu dilihat dengan teliti, khususnya, aktiviti sebelum pelantikan fasilitator baharu dibuat iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Malaysia telah mengeluarkan kenyataan mengenai rundingan damai antara kerajaan Thai dan BRN, yang mana seorang pakar bahasa yang pernah terlibat dalam tugas-tugas di wilayah sempadan selatan sejak sekian lama, setelah membacanya, merasakan MKN telah menulis kenyataan yang positif untuk pihak yang mahu memecahbelahkan Thailand,” kata sumber itu.

Sumber berkenaan juga mendakwa tokoh-tokoh berpangkat tinggi di Malaysia juga memainkan peranan dalam menyokong beberapa pertubuhan masyarakat awam (NGO) di Selatan Thai, kerana NGO berkenaan mempunyai dasar menyokong pihak pemisah.

Penduduk Selatan Thai tetap percaya serangan bom kereta itu ada kaitan dengan pertukaran fasilitator Kerajaan Malaysia.

Sementara itu, pasukan keselamatan Thailand dilaporkan mengikuti rapat langkah Kerajaan Malaysia melantik bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara MKN, Datuk Mohd Rabin Basir sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia, berkuat kuasa 1 Julai 2024.

Beliau menggantikan bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin yang memulakan tugas sebagai fasilitator pada Januari 2023 sehingga 30 Jun 2024.

Difahamkan bahawa pertukaran individu yang bertanggungjawab dalam misi ini daripada bekas pegawai tinggi tentera kepada bekas Ketua Pengarah MKN bukanlah suatu yang kebetulan.

Fasilitator Malaysia

  • Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim (2013 – 2018);
  • Bekas Ketua Polis Negara kelima, Tan Sri Abdul Rahim Mohd Noor (Ogos 2018 – Disember 2022);
  • Jeneral (B) Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin – (Januari 2023 – Jun 2024); dan
  • Datuk Mohd Rabin Basir (1 Julai 2024 – )

Pegawai keselamatan di Selatan Thai pula mendakwa pertukaran fasilitator itu mungkin disebabkan kurangnya kemajuan dalam proses rundingan damai, terutama membabitkan kumpulan kerja teknikal Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) dan Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thai (PEDP/RTG).

Kedua-dua pihak terbabit telah bertemu sebanyak lima kali di Kuala Lumpur, namun belum mampu mencapai persetujuan yang kukuh bagi meneruskan proses damai.

Bagaimanapun, pasukan teknikal kedua-dua pihak dijangka mengadakan perbincangan kali keenam di Kuala Lumpur, pertengahan bulan ini, manakala rundingan damai penuh dijangka pada Ogos.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading