
Tentera Thailand hari ini (29 Jun 2024) menolak tuduhan mengatakan anggotanya menembak mati seorang aktivis hak asasi manusia, Roning Dolah di Yarang, Pattani, pada 25 Jun lalu.
Jurucakap Pusat Pemerintah Keselamatan Dalam Negeri (ISOC), Kolonel Ekwarit Chobchuphon bagaimanapun, mendakwa pembunuhan terhadap aktivis Amnesty International itu dilakukan kumpulan yang kerap mencetuskan keadaan huru-hara di Selatan Thai.
Menurutnya, berdasarkan siasatan terperinci dilakukan di tempat kejadian mendapati senjata api yang digunakan untuk menembak mati Roning adalah sama dengan sekurang-kurangnya lapan kejadian lain.
Pihak berkuasa katanya, menemui sejumlah kartrij dan kelongsong peluru 7.62mm, peluru submesingun 5.56mm, kelongsong peluru yang ditembak menggunakan senjata HK-33, dan beberapa aksesori lain.

“Semua senjata api itu adalah terkait dengan lapan kes lain,” katanya mengulas tuduhan pihak tertentu mengatakan tentera kerajaan melakukan pembunuhan itu, sambil menyenaraikan lapan kejadian terbabit, iaitu:
Kes 1: Pada 23 Ogos 2015, penyerang telah menembak Salahuding Je Ubong, Ketua Kampung di Mukim Sadawa, dan Waehama Doka, yang cedera. Kejadian berlaku di jalan biasa di Kampung No. 2, Mukim Sadawa, Daerah Yarang, Pattani;
Kes 2: Pada 5 Oktober 2015, penjenayah menanam bom dan menggunakan pistol untuk menembak Lt Supachai Rungtem, anggota Kompeni Renjer No. 4212, bersama empat anggota lain menyebabkan kecederaan. Ia berlaku di jalan kampung (Ban Wao Sa-Langa) Kampung No. 6, Mukim Nong Raet, Daerah Yaring, Wilayah Pattani;
Kes 3: Pada 25 April 2016, penjenayah melakukan tembakan untuk mencetuskan gangguan di kawasan Ban Ku Ba E Te, Kampung No. 10, Tambon Bana, Daerah Mueang, Pattani;
Kes 4: Pada 21 Jun 2016, seorang penyerang menggunakan pistol untuk menembak dan mencederakan Koseng Musaw, 47 tahun, seorang penolong ketua kampung di kawasan Ban Kamiyao – Jalan Ban Kampongta, Kampung No. 7, Mukim Kamiyaw, Daerah Mueang, Pattani;
Kes 5: Pada 2 November 2016, penyerang melepaskan tembakan di kawasan pejabat Pertubuhan Veteran Perang, Kampung No. 4, Mukim Bana, Daerah Mueang, Wilayah Pattani, menyebabkan Prebet Thanaphon Kaewphet maut;
Kes 6: Pada 23 Julai 2019, penjenayah menembak dan membaling bom tangan menyebabkan empat pegawai terbunuh dan tiga cedera. Kejadian berlaku di pangkalan operasi unit perlindungan daerah kecil di kawasan Lebuhraya Luar Bandar Pattani, Ban Ko Lae Pile, Kampung No. 7, Pakaharang, Daerah Mueang, Pattani;
Kes 7: Pada 30 Ogos 2019, penjenayah menembak dan membunuh Mahamee Cha dan mencuri mesingun ringan AK-47 dan pistol 9 mm daripada si mati. Kejadian berlaku di Ban Dusong Payae, Kampung No 2, Mukim Mawmawee, Daerah Yarang, Pattani; dan
Kes 8: Pada 25 Jun 2024, penjenayah menembak dan membunuh Roning Doloh di hadapan rumahnya di Mukim Maemawi, Daerah Yarang, Pattani.
Sehubungan itu, Ekwarit meminta orang ramai supaya menggunakan budi bicara dalam mempercayai sesuatu maklumat yang disebarkan.
“Kami meminta orang ramai menggunakan budi bicara apabila menerima berita dan maklumat, kerana kita mendapati terdapat kumpulan yang cuba memutarbelitkan fakta mengatakan kejadian itu dilakukan pegawai kerajaan, sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat,” katanya.
Pada 26 Jun lalu, Amnesty International dalam satu kenyataan menyatakan kekesalan terhadap pembunuhan itu dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap kejadian itu.
Penyelidik Amnesty International Thailand, Chanatip Tatiyakaroonwong berkata kejadian tragis itu menunjukkan bahawa pembela dan aktivis hak asasi manusia di Selatan Thai berdepan bahaya.
“Insiden tragis ini menonjolkan bahaya yang dihadapi oleh pembela hak asasi manusia di wilayah sempadan selatan Thailand,” katanya mengulas pembunuhan Roning.
Menurut laporan media, isteri Ronin, Milah Kuteh mendakwa mereka sedang duduk di hadapan rumah sebelum terdengar bunyi tembakan.
“Penyerang berpakaian hitam seperti renjer separa tentera… menembaknya dan melarikan diri,” kata Milah.
Roning adalah penyelaras yang bekerja dengan organisasi masyarakat sivil tempatan Kumpulan Duay Jai di bawah Tabung Sukarela Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mangsa penyeksaan dan menyediakan sokongan pemulihan untuk mereka.
Menurut Kumpulan Duay Jai, Roning menyertai kumpulan itu selepas didakwa diseksa oleh pegawai tentera ketika dia ditahan dalam tahanan pada Jun 2017 di wilayah Pattani.
Sejak sekitar 2004, Thailand menyaksikan peningkatan dalam serangan dilakukan kumpulan bersenjata terhadap pegawai kerajaan, tentera dan polis Thai di wilayah selatan.
Wilayah ini yang turut dikenali sebagai ‘Deep South’ meliputi Pattani, Yala dan Narathiwat, serta empat daerah Songkhla (Saba Yoi, Tepha, Chana dan Natawee).
Kumpulan pemikir tempatan Deep South Watch melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 7,594 individu telah terbunuh antara Januari 2004 dan April 2024.





Leave a Reply