Pengenalan
Gunung Suku terletak dalam negeri Perak, bersebelahan jalan dari Simpang Pulai ke Lojing. Jangan keliru dengan satu lagi gunung yang dikenali sebagai Gunung Siku yang terletak di Cameron Highlands.

Dengan ketinggian 1,797 meter dari paras laut, Gunung Suku menjadi pilihan kepada pendaki yang gemarkan aktiviti pendakian balik hari.

Permit memasuki kawasan hutan simpan diwajibkan tetapi khidmat malim gunung tidak wajib.

Intipati Pendakian
Tarikh: 22 Jun 2024,
Penganjur: Outdoor Team Malaysia (OTIM)
Malim gunung: Silver Outdoor Sports (SOS)
Jumlah peserta: 27

Dengan jarak pendakian yang pendek iaitu kira-kira 4 kilometer untuk mendaki pada ketinggian 900 meter lebih sudah tentu akan menghidangkan bentuk muka bumi yang sangat curam.

Lebih curam daripada Gunung Nuang.

Di awal-awal pendakian lagi, peserta berhadapan dengan cerun yang curam.

Kelelahan pun menjelma. Bagaimanapun, bawa bertenang. Teruskan pendakian. Ikut rentak sendiri. Pendakian masih jauh.

Tidak lama kemudian kita akan berada di kawasan yang agak rata. Dari situ puncak Gunung Suku dan bandar raya Ipoh jelas kelihatan. Berehat sekejap.

Kemudian menuruni cerun hingga ke sebatang anak sungai. Satu-satunya water point yang ada.

Perlu juga dinyatakan bahawa pada 16 Mei 2022 berlaku tragedi kepala air di sini. Meragut dua nyawa pendaki.

Tidak sukar untuk ke seberang sana. Selangkah saja kita sudah berada di seberang.

Cabaran seterusnya adalah mendaki tebing yang curam lagi licin untuk naik ke permatang. Bantuan tali diperlukan.

Dari sini bermulalah episod pendakian yang menyeksakan. Terpaksa melalui cerun yang curam. Tiada tolak ansur langsung. Namun begitu, terubat jua. Keindahan flora dan fauna di sepanjang denai hingga ke puncak sungguh mengasyikan. Hilang penat.

Di puncak, permadangan 360 darjah Banjaran Titiwangsa dengan puncak seperti Gunung Korbu, Yong Belar dan Yong Yap jelas kelihatan.

Begitu juga kawasan tanaman sayur Kinta Highlands yang luas hasil kerjasama kerajaan negeri Perak melalui State Agricultural Development Cooperation (SADC) dan pihak swasta, Bumper Orchard (M) Sdn Bhd.

Perjalanan turun menguji tindak balas kita dengan alam keliling. Terutama tangan dan kaki perlu cepat bertindak bila perlu.

Melangkah penuh hati-hati. Silap langkah padah menanti.

Kemungkinan tergolek, tergelincir, tersembam dan banyak lagi ‘ter’ adalah lumrah.

Akhir Kalam, “kaki gunung tidak serik”.

Abd Jalil Abdullah.
Sweeper sepanjang masa

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading