Oleh Izzatul Najwa Mohd Shahril & Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi

Air adalah sumber utama dalam kelangsungan kehidupan makhluk hidup dan pastinya air menjadi keperluan untuk masyarakat memanfaatkan kegunaannya dalam pelbagai aspek, termasuk pertanian, perindustrian, sumber pokok dan sebagainya.

Pencemaran air yang disebabkan sebilangan manusia yang tidak memainkan tanggungjawab dalam menjaga dan memulihara kebersihan sumber air sehingga pencemaran berlaku, telah membawa mudharat dalam kehidupan.

Demi menyokong hasrat untuk terus memelihara sumber air agar tidak tercemar, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah mengadakan Program EM Mudball ’24 Series: Merging Science and Sustainability yang memberi pendekatan inovatif dalam memupuk kesedaran tentang kelestarian alam sekitar serta memperkenalkan kaedah saintifik yang berkesan dalam pemulihan air menggunakan mudball.

Program yang berlangsung pada 29 Mei dan 19 Jun 2024 telah melibatkan lebih 100 orang dari kalangan mahasiswa UPSI dan pelajar sekolah bitara jemputan antaranya SMK Bandar Behrang 2020 (Perak), SMK Serendah (Selangor) dan Sekolah Rendah Seri Budiman (Perak).

Program berjalan mengikut fasa di mana fasa pertama bertempat di Perkarangan Dewan Harun Aminurrashid dan fasa kedua pula bertempat di Tasik Marina, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Turut bersama merasmikan, Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Mohd Kamal Abdul Latiff.

Katanya, inovasi yang dilakukan adalah langkah dalam menjaga ekosistem sumber air agar pencemaran dapat dikurangkan dan air bersih dapat dimanfaatkan kepada semua masyarakat.

Turut hadir Penolong Pegawai Unit Hal Ehwal Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Hilir Perak, Razlan Shaari; Ketua Felo Kolej Harun Aminurrashid, Dr Muhammad Ridhwan Sarifin; dan Bendahari Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Ng Zhen Fan Shankar.

Pengetua Kolej Harun Aminurrashid, Dr Che Anuar Che Abdullah berkata, program itu bertujuan melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga berinovasi dalam menjaga alam sekitar.

“Program sebegini boleh menjadi titik permulaan bagi melahirkan rasa tanggungjawab dalam diri pelajar untuk bersama dalam menjaga persekitaran daripada terus tercemar.

“Saya yakin dengan sikap ambil peduli ini akan membawa perubahan positif serta memperkasa generasi muda untuk lebih peka terhadap isu-isu alam sekitar,” katanya.

Menurutnya, UPSI pastinya sentiasa menyokong program seperti ini yang selaras dengan elemen Semarak Siswa Madani yang menekankan khidmat sosial dan kelestarian alam sekitar.

Pengarah program, Mohamad Naqiuddin Abd Rahman berkata, pelaksanaan program ini adalah untuk memastikan setiap peserta mendapat pengetahuan dan pengalaman yang berharga dan memahami pemuliharaan alam sekitar, terutama sumber air adalah tanggungjawab bersama.

“Melalui bengkel dan ceramah, serta aktiviti praktikal pembuatan mudball, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada peserta untuk menjadi ejen perubahan dalam usaha pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya.

Dalam program tersebut, peserta diberi pendedahan mempelajari proses pembuatan mudball menggunakan campuran tanah, hampas beras, dan Effective Microorganisms (EM).

Campuran ini akan diaktifkan untuk membiak bakteria yang baik, seterusnya membantu dalam pemulihan air tercemar tanpa menggunakan bahan kimia berbahaya.

Namun, ia juga boleh diimplimentasi untuk bahan-bahan organik yang lain.

Pelaksanaan Program EM Mudball ’24 Series, Kolej Harun Aminurrashid, UPSI dilihat mampu untuk terus memimpin dalam usaha kelestarian alam sekitar.

Program ini bukan hanya sebuah platform untuk pembelajaran dan inovasi, tetapi juga untuk memperkasakan generasi muda dalam menjadi pemimpin perubahan bagi pemuliharaan alam sekitar.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading