Beberapa hari ini lalu saya membaca artikel yang ditulis wartawan tersohor Britain, David Hirst bertajuk ‘Is Israel going the way of Crusaders? Ia adalah kisah peperangan Israel dalam membunuh dan mengusir penduduk Palestin dari tanah air mereka.

Dalam kisah perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman Yahudi Zionis, tercatat satu gerakan iaitu Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang ketika itu dipimpin oleh Yasser Arafat.

Tiba-tiba teringat pula saya. Di mana PLO dalam perang genosid di Gaza?

PLO seolah-olah tidak berperanan dalam menjalankan tanggujawabnya melindungi dan memperjuangkan hak rakyat Palestin dalam mempertahankan tanah air mereka.

Dimanakah suara PLO ketika regim pengganas Israel menghalang kemasukan trak penghantaran makanan dan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza? Di mana PLO ketika regim haram menyerang Rafah?

Tetapi dalam keadaan kritikal di Gaza, PLO seolah-olah tidak mewakili rakyat Palestin dalam perjuangan bersama Hamas menentang negara haram Yahudi yang menjajahi Gaza.

Bahkan sejak Hamas menyerang wilayah haram di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, PLO dan Fatah telah tenggelam di persada antarabangsa, apa lagi dalam geopolitik di Timur Tengah.

Apa yang ketara – PLO tidak lagi dilihat sebagai gerakan pembebasan ke arah kemerdekaan Palestin.

Agak sedih daripada suatu pertubuhan yang aktif memperjuangkan pembebasan bumi Paletin, PLO di bawah kepimpinan Mahmoud Abbas kini hanyalah sebahagian daripada Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mengurus dan mentadbir Tebing Barat sebagai sebuah organisasi Majlis Perbandaran.

Mungkin episod 7 Oktober dianggap sebagai yang bermakna bagi PA kerana serangan balas regim pengganas akan menghancurkan Hamas di Gaza dan sikap berdiam diri PA dapat membuka peluang baginya untuk mentabdir Gaza setelah perang tamat.

Sikap berdiam diri ini mencetuskan pelbagai ulasan seperti, adakah PA menyokong serangan regim genosid ke atas penduduk Palestin di Gaza?

Namun dalam laporan CNN pada 16 Oktober 2023, Presiden PA, Mahmoud Abbas mengecam serangan Hamas ke atas Israeal dan berkata tindakan kumpulan militan ini tidak mewakili rakyat Palestin.

“Dasar-dasar dan tindakan Hamas tidak mewakili rakyat Palestin dan dasar-dasar, program-program dan keputusan PLO mewakili rakyat Palestin
sebagai wakil sah dan satu-satunya yang mewakili mereka, kata Abbas dalam laporan agensi media Palestin (WAFA).

Di samping menggesa supaya Israel menghentkan keganasan di Gaza dan melindungi orang awam, Abbas juga mengutuk serangan Hamas pada 7 Oktober yang memberikan alasan dan sebab bagi Israel menyerang Gaza, serangan yang membawa kepada pembunuhan dan kemusnahan. (Laporan Agensi, 17 Mei 2024) Kecaman ini dibuat semasa menghadiri sidang kemuncak ke-33 Liga Arab di Manama, Bahrain.

Ulasan-ulasan Abbas yang meminta supaya Israel menghentikan pembunuhan ke atas penduduk Palestin sekadar retorik sahaja, tiada tindakan lanjut yang dilakukan.

Mereka tidak berperanan dalam rundingan gencatan senjata di Mesir dan Qatar bahkan dalam keputusan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) sekali pun.

Tiada pun suara mereka di meja rundingan dan media pun tidak meminta pandangan mereka dalam penyelesiaan konflik.

PLO tidak lagi memainkan peranan sebagai aktor utama dalam geopolitik konflik di Timur Tengah bahkan tiada dalam agenda kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Russia dan China. Bahkan regim genosid pun tidak menghiraukan mereka kerana tidak lagi mengemukakan ancaman kepada survival negara haram.

PA lebih selesa berada bersama rakan-rakan sekutu Jordan-Mesir-Arab Saud-Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang anti kepada sebarang konflik terbuka dengan regim genosid dan cenderung kepada normalisasi dengan negara haram Israel.

Apakah PA hanya membiarkan Hamas dan pejuang Palestin dihancurkan regim genosid? Sikap berpeluk tubuh PA tentunya dibenci penduduk Palestin di Tebing Barat apatah lagi di Gaza dan mencetuskan pelbagai reaksi di persada antarabangsa.

Ini membawa kepada andaian bahawa PA berkeinginan mentadbir Gaza selepas Hamas dihancurkan regim pengganas. Inilah imaginasi PA!

Perkara dapat diperhatikan dalam berita apabila pakar ekonomi yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri, Dr Mohammad Mustafa, dinamakan
sebagai Perdana Menteri PA oleh Presiden Mahmoud Abbas.

Pelantikan itu menjadi sebahagian daripada rancangan untuk mentadbir urus Gaza dan Tebing Barat selepas perang Israel-Palestin.

Jawatan itu kosong selepas Perdana Menteri, Mohammed Shtayyeh dan pentadbirannya meletak jawatan pada Februari untuk memberi laluan kepada pemerintah yang terdiri daripada golongan teknokrat dan ahli perniagaan.

Tetapi si algojo Benjamin Netanyahu tentu tidak akan bersetuju dengan hasrat Abbas itu kerana memberikan tugas mentadbir Gaza kepada PA akan menyemarakkan ancaman kepada tentera Israel.

Sebarang rancangan PA hendak memerintah Gaza haruslah mendapat kebenaran Washington dan Israel. Dalam perang genosid ini PA dan PLO telah kehilangan kepercayaan rakyat Palestin dalam membela nasib mereka.

Penulis adalah pengulas isu-isu geopolitik dan perhubungan antarabangsa.

Leave a Reply

Trending

Discover more from apakhabartv.com

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading