
Pelajar UPSI Naib Johan Kelayakan Adobe Certified Professional World Championship
Seorang pelajar Kejuruteraan Perisian dari Fakulti Pengkomputeran dan META-Teknologi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mengharumkan nama universiti apabila meraih kedudukan kedua dalam Kejohanan Kebangsaan Adobe Certified Professional (ACP) Malaysia 2024.
Pencapaian Alan Tan Khee Seng telah memberinya peluang berprestij untuk mewakili Malaysia di Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional.
ACP World Championship, yang dianjurkan oleh Certiport, adalah pertandingan peringkat antarabangsa yang menguji kemahiran reka bentuk menggunakan Adobe Photoshop, Illustrator, dan InDesign. Peserta dari seluruh dunia diundang untuk mewakili negara masing-masing dan mencipta projek reka bentuk untuk pelanggan bukan berdasarkan keuntungan yang dipilih oleh Certiport.
Tahun ini, kemahiran dan kreativiti Alan meletakkannya dalam kalangan yang terbaik untuk mempamerkan bakat mereka pada peringkat antarabangsa.

Kejohanan Kebangsaan ACP Malaysia, sebahagian daripada Kejohanan Kebangsaan Adobe Certified Professional dan Microsoft Office Specialist Malaysia 2024 oleh CCC, adalah acara tahunan yang terbuka kepada belia berumur 13 hingga 22 tahun. Peserta melalui peringkat ujian yang ketat untuk mencipta kandungan inovatif menggunakan perisian reka bentuk Adobe.
Tahun ini menandakan edisi ke-9 pertandingan ini, yang diadakan dengan kerjasama EcoKnights, Badan Benefisiari Rakan Strategik NGO. Reka bentuk yang menang akan dipaparkan sebagai poster rasmi untuk Festival Filem Eko Antarabangsa Kuala Lumpur ke-16 (KLEFF), festival filem eko yang paling lama berjalan di Asia Tenggara.
Daripada 2,000 pelajar institusi menengah dan tertiari yang menyertai pertandingan kali ini, empat peserta teratas dianugerahkan kategori ACP. Juara ACP 2024 akan menikmati perjalanan yang ditaja ke Anaheim, California, USA, untuk bertanding dalam Kejohanan Dunia dari 28 hingga 31 Julai 2024.
Alan dibimbing oleh Ahmad Nurzid Rosli dari Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital. Kemenangan ini adalah bukti kepada kualiti pendidikan dan bimbingan yang tinggi yang disediakan di UPSI.
Selain itu, Muhammad Hakimi B’ Zam Zam, pelajar Diploma Reka Bentuk dan Pembangunan Permainan dan Syaffiqa Salhi, pelajar Diploma Sains Komputer (Komputeran Internet) turut terpilih sebagai Top 30 dalam pertandingan ini.
Pencapaian Alan bukan sahaja menonjolkan keupayaannya yang luar biasa tetapi juga meletakkan UPSI di peta sebagai pusat penghasilan bakat digital.
UPSI, PPSPM bersih Sungai Melaka
Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), UPSI buat julung kalinya berjaya menganjurkan Program Membersih Sungai Melaka dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) pada 24 Mei lalu.
Program ini melibatkan penyertaan 148 kakitangan di bawah Portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).
Majlis perasmian program ini disempurnakan Pengurus Jabatan Pembangunan Perniagaan dan Korporat PPSPM, Haji Salman Haji Salim. Dalam ucapannya, Haji Salman menekankan betapa pentingnya usaha menjaga kebersihan dan kelestarian sungai sebagai salah satu langkah utama dalam memulihara alam sekitar.
Beliau turut memuji komitmen yang ditunjukkan oleh JHEPA, UPSI dalam usaha ini dan berharap kerjasama seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang.

Program membersih sungai ini adalah salah satu pengisian di dalam slot Retreat JHEPA 2024 di samping menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar dan mendidik masyarakat berkenaan kepentingan menjaga kebersihan sungai.
Aktiviti ini bukan sahaja melibatkan kerja-kerja pembersihan fizikal seperti memungut sampah sarap yang terapung dan tersangkut di tebing sungai, tetapi juga membabitkan sesi penerangan dan pendidikan mengenai kepentingan sungai kepada ekosistem dan kehidupan manusia.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin, yang turut hadir menyatakan penghargaan beliau kepada semua kakitangan yang terlibat. Beliau menegaskan bahawa program seperti ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial universiti dalam mendidik dan menyumbang kepada masyarakat.
“Usaha ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan sungai. Sungai Melaka bukan sahaja menjadi lambang negeri Melaka yang terkenal sebagai bandar pelancongan, tetapi juga sumber kehidupan yang perlu kita pulihara bersama,” katanya.
Program empowerNCER Akademik beri impak kepada murid Orang Asli
Program empowerNCER Akademik yang dilaksanakan dengan kerjasama UPSI bersama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memberi impak terhadap prestasi pendidikan murid Orang Asli.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) adalah program pembangunan insan.
“Kami menyasarkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sebanyak 31 buah sekolah menengah yang membabitkan 1,800 murid terpilih menyertai program ini,” katanya.

Beliau berkata sebanyak sembilan daerah yang terlibat di dalam program berkenaan iaitu Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Kampar, Perak Tengah, Bagan Datuk, Kuala Kangsar, Hulu Perak dan Kinta
“Dalam pemilihan sekolah pada kali ini, sebanyak 17 sekolah rendah dipilih dan seramai 600 murid Orang Asli dari tujuh daerah sebagai peserta empowerNCER.
Program empowerNCER Akademik, katanya, dapat mewujudkan akses sama rata terhadap pendidikan yang berkualiti, memberi peluang pekerjaan sekali gus meningkatkan kecekapan demi mengurangkan kadar pengangguran rakyat Perak.
Menurut beliau selain memberi impak kepada murid, ia dapat memberi peluang perniagaan untuk meningkatkan ekonomi pengusaha tempatan dalam pelbagai bidang bagi pelaksanaan dan keperluan program.
“NCIA juga memberi dana kepada sekolah bagi melaksanakan program empowerNCER Akademik untuk murid, ibu bapa dan guru yang digunakan untuk program komuniti, bayaran penceramah Tips Pecutan dan makan murid sepanjang program,” katanya.






Leave a Reply