
HAT YAI (Thailand): Sambutan Tahun Baharu Tradisional Thailand atau lebih dikenali sebagai Pesta Songkran tahun ini menyaksikan lebih 100,000 pelancong Malaysia menyeberangi sempadan untuk bercuti di bandar kelima terbesar di Negara Gajah Putih ini.
Pesta yang bermula 13 hingga 15 April setiap tahun itu di seluruh Thailand kali ini bertepatan dengan cuti Hari Raya Aidilfitri di Malaysia yang disambut pada 10 April lalu.
Kemasukan pelancong Malaysia ke Thailand, terutama di bandar besar di lima wilayah Selatan Thai – Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun – tahun ini adalah susulan daripada sambutan Aidilfitri, kata Presiden Persatuan Hotel Hat Yai-Songkhla, Sitthipong Sittipatprapha.
Selain masuk menggunakan kenderaan sendiri, perkhidmatan kereta api khas – My Sawasdee – dari Malaysia pada 12 April iaitu sehari sebelm Songkran bermula, membawa masuk lebih 400 penumpang selepas 11 jam perjalanan dari Kuala Lumpur.
Dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), ia adalah perkhidmatan khas antara Malaysia dan Thailand ketika tempoh perayaan.
Tahun ini sahaja, tujuh lagi perjalanan dirancang. Penumpang kereta api khas itu akan mengambil bahagian dalam aktiviti ‘percikan air tradisional’ di Hat Yai sebelum pulang ke Kuala Lumpur semalam (Ahad).
Pada masa sama, Daerah Betong di Yala turut menganjurkan sambutan Pesta Songkran. Acara yang bertemakan Hom Sabai, Sai Jeans yang bermaksud memakai selendang tradisional dengan jeans itu menarik pelancong dari Malaysia dan Singapura.
Acara yang dipenuhi dengan aktiviti seperti laga air, pesta buih dan persembahan pentas, berlangsung di Chaya Chaowalit Road.

Selain itu, Pattaya Water Space, salah satu tarikan pelancongan baharu di Chon Buri, menyaksikan kemasukan sekurang-kurangnya 3,000 pelancong China, sebahagian daripada mereka tiba terus melalui penerbangan sewa khas di bawah polisi bebas visa untuk warga China.
Sementara itu, Kerajaan Thailand menganggaran Pesta Songkran tahun ini menyuntik antara 140 bilion hingga 200 bilion baht kepada ekonominya.
Festival yang diiktiraf sebagai acara ‘Warisan Budaya Tidak Ketara’ oleh UNESCO itu dianggarkan menarik sehingga 10 juta pelancong antarabangsa yang akan menyumbang 11.8 bilion baht kepada perbelanjaan.
Susulan pengiktirafan itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Srettha Thavisin, telah melanjutkan sambutan itu kepada 21 hari dalam usaha untuk merangsang perbelanjaan pelancongan dan ekonomi.
Di sebalik ramalan ini, Pengerusi Penasihat Pusat Ramalan Ekonomi dan Perniagaan Dewan Perniagaan Thai (UTCC), Thanavath Phonvichai, meramalkan Pesta Songkran akan merangsang pertumbuhan ekonomi sebanyak 2.9% dengan anggaran perbelanjaan 129 bilion baht (AS$3.5 bilion) oleh rakyat Thailand.
Jurucakap kerajaan Chai Wacharonke mendedahkan data Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) dan Biro Imigresen, yang menunjukkan peningkatan 146.21% dalam kehadiran bilangan pelawat asing berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan 10.4 juta pelawat memasuki Thailand dari 1 Januari hingga 9 April.
Majoriti pelancong ini berasal dari China, Malaysia, Russia, Korea Selatan, dan India.
TAT menjangkakan perbelanjaan pelancong domestik dan asing semasa perayaan Songkran akan menjana pendapatan sekurang-kurangnya 100 bilion baht (AS$ 2.7 bilion) untuk negara.






Leave a Reply