
EMPAT wilayah di Selatan Thailand dikejutkan dengan pergolakan pada awal pagi Jumaat (22 Mac 2024) apabila 40 kejadian pengeboman dan pembakaran harta kerajaan serta swasta berlaku menyebabkan seorang wanita warga Myanmar maut.
Kejadian mengejutkan itu menjadi satu rangkaian ‘serangan’ paling besar berlaku dalam tempoh satu malam, yang menimbulkan persoalan sama ada keselamatan pelancong, khususnya dari Malaysia, terjamin atau tidak.
Semua ‘serangan’ itu berlaku pada hari ke sepuluh umat Islam di lima wilayah selatan – Satun, Songkhla, Pattani, Narathiwat dan Yala – menyambut Ramadan.
Siapa pun yang melakukannya, keamanan di wilayah berkenaan, terutama di Pattani, Narathiwat dan Yala, sentiasa terjejas.
Sedangkan, pada 2023 rakyat Malaysia mendahului senarai pelawat antarabangsa ke Thailand iaitu seramai 4.56 juta orang, sekali gus dianggarkan menyumbang lebih 2 bilion baht kepada ekonomi tempatan dalam tempoh dua minggu sebelum 2023 berakhir.
Laporan oleh Persatuan Hotel-Hotel Songkhla Hatyai pula menyatakan bahawa pelancong Malaysia yang melawat Hatyai, melonjak dua kali ganda iaitu kepada kira-kira 20,000 orang sehari ketika Krismas dan musim cuti hujung tahun 2023.
Mengikut laporan media tempatan, serangan bermula sekitar jam 1 pagi di Wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla, yang bersempadan dengan Malaysia. Wilayah ini merupakan kawasan di mana pihak berkuasa Thailand dan kumpulan pejuang telah bertempur selama lebih sedekad.
Jurucakap Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4, Kolonel Ekwarit Chobchuphon, dilaporkan mendakwa pelaku mahu membuat huru-hara pada Ramadan yang mulia.
Serangan menyasarkan ekonomi tempatan dan kemudahan awam. Dan dalam satu kes pelaku melepaskan tembakan ke udara untuk mengusir pekerja sebuah kedai serbaneka keluar sebelum membakar kedai itu.
Belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab serangan serentak dalam satu malam.
Serangan itu menggambarkan kurangnya toleransi antara pihak yang bertelingkah di kawasan itu, sekali gus akan menjejaskan proses damai, di mana Malaysia diketuai bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, menjadi fasilitator.
Pada masa ini, penduduk di lima wilayah itu masih tidak melihat keikhlasan daripada pihak kerajaan Thailand mahupun kumpulan pejuang.
Kejadian awal pagi Jumaat itu belum lagi dicampur dengan beberapa kes serangan dan pembunuhan terhadap pasukan keselamatan Thai dan orang awam, yang kerap berlaku bermula pada Oktober setiap tahun.
Konflik antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak yang meletus pada 2004 telah membunuh lebih daripada 7,300 orang, menurut Pusat Pemantauan Situasi Selatan (Deep South Watch).






Susulan kejadian Jumaat lalu juga, Kementerian Luar Malaysia melalui Konsul Besar Malaysia di Songkhla, memaklumkan mereka sedang memantau dengan teliti kejadian itu.
Kementerian dalam satu kenyataan pada Sabtu Wisma Putra berkata setakat laporan terbaru, tiada rakyat Malaysia terlibat atau terjejas dengan insiden itu.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sedang giat menyelaraskan usaha dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” kata kenyataan itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Konsul Besar Malaysia di Songkhla, Nombor telefon +(6674) 316 274 / +(6693) 6570707 atau e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.
Ia juga menggesa rakyat Malaysia yang berada di sekitar kejadian ini supaya terus berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini dan panduan yang diberikan pihak berkuasa tempatan.
Apapun, kejadian keganasan yang berlaku di lima wilayah itu, yang terjejas ialah penduduk sendiri, termasuk saudara mara pelaku kejahatan.
Empat puluh kejadian awal pagi Jumaat lalu melibatkan:
PATTANI (20 kejadian)
- Pembakaran stor kedai 7-Eleven, cawangan Puyut, Mukim Puyut, Daerah Pattani;
- Letupan di stesen minyak PTT, Ko Chan, Mayo, Daerah Yaring;
- Pembakaran stor 7-Eleven, cawangan Bang Pu, Mukim Bang Pu, Daerah Yaring;
- Pembakaran menara telekomunikasi di Jalan 4092 di kawasan Ban Cho Banae, Mukim Luboyirai, Mayo, Daerah Yaring;
- Pembakaran tayar kereta di Jalan No 410 berhadapan Pusat Kesihatan Ma Mawi, Daerah Yarang;
- Pembakaran tayar kereta di sekitar selekoh Ban Ba Ngu Ka, Mukim Ma Mawi, Daerah Yarang;
- Pembakaran kedai 7-Eleven di hadapan Universiti Fatoni, Mukim Khao Tum, Daerah Yarang;
- Pembakaran stor 7-Eleven depan Hospital Khok Pho, Mukim Makrut, Daerah Khok Pho;
- Pembakaran bilik di Home Sweet Home Resort, Mukim Bo Thong, Daerah Nong Chik;
- Membakar getah berhampiran Jambatan Chamao, Mukim Bo Thong, Daerah Nong Chik;
- Pembakaran pejabat Pihak Berkuasa Elektrik Wilayah, di Ban Padae Palas, Daerah Thung Yang Daeng;
- Cubaan membakar stor 7-Eleven di Mukim Sai Thong, Daerah Mai Kaen;
- Pembakaran talian telekomunikasi di Mukim Paku, Daerah Thung Yang Daeng;
- Pembakaran talian telekomunikasi dan tiang elektrik, di Mukim Paku, Daerah Thung Yang Daeng;
- Pembakaran tiang elektrik di kawasan Ban Mo Saeng, Mukim Plong Hoi, Daerah Kapho;
- Kebakaran kabel telekomunikasi di sepanjang jalan di kawasan Ban Utae Bu Ra Gae, Mukim Talo Dueraman, Daerah Kapho;
- Pembakaran tiang elektrik di Ban Bilaya, Mukim Talo Krai Thong, Daerah Mai Kaen;
- Pembakaran di kawasan mukim Na Pradu, Daerah Khok Pho;
- Pembakaran kabel di kawasan Mukim Tabing, Daerah Sai Buri; dan
- Pembakaran tayar kereta terbakar di kawasan Mukim Bang Kao, Daerah Sai Buri.
YALA (11 kejadian)
- Membakar menara isyarat telekomunikasi di Ban Kabang, Mukim Kabang, Daerah Kabang;
- Membakar menara isyarat telekomunikasi di Ban Lue Neng, Mukim Patae, Daerah Yaha;
- Membakar menara telekomunikasi di kawasan Ban Pu Lo Sani Yae, Mukim Ban Rae, Daerah Than To;
- Pembakaran tayar di atas jalan di persimpangan Ban Rae Ban Pu Lo Sani Yae, Mukim Ban Rae, Daerah Than To;
- Pembakaran kedai perabot (Ran Atifla), Ban Ngo Kapo, Mukim Bannang Sata, Daerah Bannang Sata, Wilayah Yala;
- Pembakaran kilang kilang kayu getah di Ban Cho Bantang, Mukim Bannang Sata, Daerah Bannang Sata;
- Pembakaran tiang elektrik di jalan menuju Ban Ku Bae, Mukim Talo Halo, Daerah Raman;
- Pembakaran pencawang Federation Electricity Company Limited, di stesen minyak PTT, Mukim Tha Sap, Daerah Mueang;
- Pembakaran di kilang Wanpha Metal di Ban Nang Buyo, Mukim Nang Sareng, Daerah Mueang;
- Pembakaran di Kilang Thanabadee (Chinworn), Ban Ku Be, Mukim Lidon, Daerah Mueang; dan
- Pembakaran menara telekomunikasi di Huai Krathing, Daerah Krong Pinang.
NARATHIWAT (tujuh kejadian)
- Membakar jentetolak jalan di kawasan sempadan Ban Ku Wa, Riko dan Ban Ba Ngo Humo, Daerah Sungai Pad;
- Membakar kamera CCTV di hadapan Sekolah Ban Tamung di kawasan Ban Tamung, Mukim Choeng Khiri, Daerah Si Sakhon;
- Membakar kamera CCTV di hadapan Pertubuhan Pentadbiran Daerah Choeng Khiri di kawasan Ban Tamung, Mukim Choeng Khiri, Daerah Si Sakhon;
- Pembakaran bangsal kayu, di Ban Priyo, Mukim Kayukla, Daerah Waeng;
- Pembakaran kilang kaolin di Ban Ba Ngo Dudung, Mukim Chuap, Daerah Cho Airong;
- Membakar kamera CCTV di kawasan Ban Pupo, Mukim Samakkhi, Daerah Rueso;
- Pembakaran di kawasan lombong Ban Irbalo, Mukim Chang Phueak, Daerah Chanae.
SONGKHLA (dua kejadian)
- Pembakaran menara telefon berhadapan Masjid Nuruddin, Ban Long Khuan, Mukim Khuha, Daerah Saba Yoi; dan
- Pembakaran di tiang elektrik dan tiang telekomunikasi di Ban Tuyong, Mukim Pak Bang, Daerah Thepha.





Leave a Reply